Pemimpin perlu jaga akhlak, jauhi fitnah

riduan1
- Advertisement -

KENYATAAN Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar bahawa dirinya disabotaj ketika ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah kelab malam dan menafikan dirinya menggunakan dadah walaupun ujian air kencing yang dijalankan oleh polis menunjukkan ia adalah positif menandakan ada golongan desperado yang sanggup melakukan apa sahaja demi politik. Perkara itu sangat dibimbangkan oleh pemimpin terutama bakal calon pilihan raya yang terdedah dengan ancaman keselamatan, sabotaj, dan tindakan lain yang menjatuhkan maruah dan aib mereka.

- Advertisement -

Dalam situasi mutakhir ini – iaitu ketika negara di ambang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ada pihak sanggup melakukan apa sahaja demi untuk kepentingan diri sendiri termasuk memerangkap orang lain, cah keting, mensabotaj, menipu, mencederakan bahkan membunuh. Semua ini dilakukan bagi menafikan pesaing sebagai calon dan melonjak diri sendiri menjadi calon pilihan raya atau orang penting dan memastikan diri mendapat tempat tertentu walaupun sanggup khianat terhadap rakan seperjuangan.

Jika benar kenyataan Datuk Rizalman itu, maka tidak ada yang selamat dalam politik walaupun terhadap rakan baik sendiri. Sesiapa sahaja boleh menjadi musuh, kawan menjadi lawan, lawan menjadi kawan – pesaing akan dikambus hidup-hidup, dipastikan musuh politik tidak ada tempat dan ruang bernafas di dunia politik ini. Inilah politik ala ‘Machiavelli’ yang menjadikan matlamat untuk menghalalkan cara. Ia jauh daripada politik Islam yang PAS sedang perjuangkan sekarang iaitu politik berteraskan iman, syariat dan akhlak. PAS tidak tergamak menyerang peribadi musuh politik, tidak rela menerima dan menyebarkan fitnah, budaya memburukkan dan menjatuhkan lawan politik yang tidak ada akhlak dalam Islam.

Namun di sebalik pengakuan Datuk Rizalman, timbul persoalan besar mengenai akhlak dan tingkah laku pemimpin Umno itu. Beliau mengaku datang ke kelab malam sehingga jam 2.0 pagi untuk berhibur, berkaraoke, dan minum minuman ringan. Apakah ini amalan seorang yang mengaku beragama Islam dan mahu menjadi pemimpin contoh kepada masyarakat? Bagaimana pandangan pengundi dari kalangan umat Islam dan agamawan, para Imam, bilal, ahli jawatankuasa masjid, ahli kariah masjid di bahagian beliau? Sudah tentu mereka merasa malu mendapat seorang pemimpin yang suka berhibur di kelab malam dan berkaraoke.

Seharusnya Datuk Rizalman sedar tindakannya mengundang fitnah. Walaupun beliau menafikan mengambil minuman keras dan dadah, tetapi kehadiran beliau di kelab malam tersebut tetap tidak boleh diterima oleh masyarakat. Ia bukan budaya dan amalan umat Islam, lebih-lebih lagi pemimpin masyarakat yang mahu bertanding dan bergelar ahli parlimen. Menjadi Yang Berhormat (YB) bukan gelaran terhormat atau bebas melakukan apa sahaja melainkan dengan tanggungjawab dan bebanan, termasuk menjadi teladan terbaik buat masyarakat setempat. Meletakkan diri di tempat yang salah dan mengundang fitnah adalah tindakan keji yang tidak boleh diterima.

Bagi masyarakat umumnya dan pengundi Bandar Tun Razak khususnya, tangkapan terhadap Datuk Rizalman adalah hikmah untuk menunjukkan siapa beliau sebenarnya. Allah menyingkap tabir kehidupan peribadi insan yang mahu bergelar pemimpin tetapi terpalit dengan pelbagai sisi kehidupan yang tidak enak dilihat oleh manusia seluruhnya. Mujur beliau tertangkap sebelum PRU ke-14, jika selepas PRU ke-14 malanglah pengundi kawasan beliau terpaksa menanggung malu selama lima tahun kemudiannya mendapat pemimpin yang kurang akhlak dan menjaga tingkah laku sendiri.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
4 April 2018 – HARAKAHDAILY 4/4/2018

- Advertisement -