Hapus judi di Pahang dahulu

- Advertisement -
ROMPIN: Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Negeri Pahang, Ustaz Nazri Ahmad menggesa Umno mengapuskan judi di Pahang dahulu sebelum memberi komitmen untuk menghapuskan judi di Kelantan.
 
Mengulas laporan media mengenai janji Umno untuk menghapus judi di Kelantan, Nazri hairan dengan tahap pemikiran pemimpin Umno mengenai judi di negeri itu.
 
Ini kerana ujarnya, Kerajaan Negeri Kelantan sejak tahun 1990 lagi telah membatal lesen premis dan menutup premis perjudian.
 
Nazri membandingkan Kelantan dengan negeri Pahang yang mempunyai banyak premis perjudian, malah kasino terbesar di Malaysia juga berada di negeri itu yakni di Genting Highland.
 
“Pelik sungguh pemikiran pemimpin Umno ni, pusat perjudian di negeri yang dikuasai Umno dibiar, tiba-tiba mencadangkan untuk menutup perjudian yang sememangnya tidak ada di Kelantan,” sindir Nazri.
 
Menurut Nazri, di Pahang setiap daerah mempunyai sekurang-kurang lima premis perjudian berlesen, malah di bandar besar seperti Kuantan dan Temerloh jumlah premis perjudian melebihi dari lima.
 
Oleh itu seru beliau, seeloknya Umno menumpukan usaha membasmi perjudian di negeri-negeri yang dikuasainya daripada membuat cadangan kurang cerdik tersebut. -HARAKAHDAILY 5/4/2018
- Advertisement -