Penduduk Batu Sapi dakwa diabai wakil rakyat

- Advertisement -

BATU SAPI: Penduduk Kampung Gelam serta beberapa perkampungan dalam Parlimen Batu Sapi mengadu bahawa mereka telah diabaikan oleh wakil rakyat kawasan itu.

- Advertisement -

Malah mereka turut merasa seperti hanya diperlukan pada setiap kali pilihan raya apabila calon datang bagi menagih undi dengan melambakkan pelbagai pemberian.

Perkara tersebut dibuktikan dengan pelbagai kemudahan asas yang rosak dan tidak diselenggara termasuk timbunan sampah hingga mengundang kesukaran dan ketidakselesaan hidup.

Rungutan mereka itu dikongsikan kepada Ketua Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu ketika datang mengedar risalah Tawaran PAS di kampung tersebut, di sini semalam.

Penduduk berdasarkan suara mereka jelas semakin sedar betapa hak sebagai pengundi banyak yang tidak dipenuhi, apatah lagi pengabaian dalam perkara asas kehidupan.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana ia melibatkan kesejahteraan penduduk yang menjadi pengundi kepada mereka yang bergelar wakil rakyat.

“Adun atau Ahli Parlimen dipilih untuk jaga kesejahteraan penduduk, bukan diabaikan dan hanya bila PRU baru datang merayu undi semula,” ujar Norsah yang juga Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Batu Sapi.

Beliau yakin dengan kesedaran itu penduduk mahukan perubahan dan beliau meyakinkan mereka bahawa PAS adalah pilihan terbaik membela nasib dan masa depan rakyat.

Hadir sama ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mustaman Mustain dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Sandakan, Ramlan Pandi bersama anggota penerangan yang lain.-HARAKAHDAILY 3/4/2018

- Advertisement -