Pembangunan seimbang dunia dan akhirat

- Advertisement -
KUALA  TERENGGANU: PAS mendambakan pemerintahan Islam dengan pembangunan yang mapan dan seimbang antara dunia dan akhirat.
 
Adun Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut berkata PAS tidak mahu ketinggalan dalam arus pembangunan jika berjaya memerintah negeri dan negara.
 
Namun kata beliau, pembangunan yang dikehendaki oleh parti itu mestilah selaras dengan dasar dan matlamat hidup manusia.
 
“Jenis pembangunan yang macam mana kita mahu? Sebab itu, dalam manifesto kita (PAS) sebut pembangunan mampan. Pembangunan untuk dunia dan akhirat. 
 
“Itu sebabnya, kita memberitahu kepada rakyat bawah kepimpinan ulama, parti PAS ini soal perpaduan kita jaga, pembangunan pun kita (akan) pastikan supaya rakyatlah yang akan mendapat manfaatnya,” tegasnya. 
 
Beliau berkata demikian dalam program Bicara Perpaduan dan Pembangunan bersama empat ahli panel lain di hadapan Flat Awam Padang Hiliran, di sini kelmarin.
 
Abdul Wahid yang berpengalaman selama 28 tahun sebagai wakil rakyat PAS itu turut memberi gambaran contoh ketika kerajaan PAS memerintah Terengganu satu penggal lalu.
 
“Walaupun kita (PAS) memerintah sempat satu penggal (1999-2004) tetapi banyak perkara yang bermanfaat dilaksanakan oleh kerajaan PAS untuk rakyat. 
 
“Rakyat susah sekarang dan kita kena tengok keperluan mereka. Buat bangunan tinggi-tinggi, jual mahal-mahal, rakyat tidak mampu hendak beli, buat apa? Akhirnya orang (bangsa) lain beli, berat. 
 
“Sebab itu, antara jasa (kerajaan) kita semasa memerintah satu penggal buat Pasar Borong Gong Pauh, yang orang kampung boleh jual hasil pertanian mereka tanpa sekatan,” jelasnya. 
 
Selain itu, katanya kerajaan PAS Terengganu menghapuskan cukai pintu rumah kediaman, agihan tanah lot dan pertanian, memperkasakan undang-undang negeri dan banyak lagi.
 
“Kita kena berfikir secara serius dan tidak boleh dibiarkan lagi kepada Umno-BN terus memerintah negeri Terengganu ini. 
 
“Jika kita (rakyat) lok koho punoh. Kita kena balik kembali kepada Islam dan kepimpinan ulama, InsyaAllah,” ujarnya.
 
Menurutnya, pembangunan mapan yang dimaksudkan itu dapat memenuhi keperluan pada masa sekarang tanpa menjejaskan keupayaan memenuhi keperluan masa depan. -HARAKAHDAILY 3/4/2018
- Advertisement -