Moral: PAS sokong RUU Antiberita Tidak Benar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyokong Akta Berita Tidak Benar yang diluluskan di Dewan Rakyat, semalam kerana banyak kesan positif untuk memulihkan akhlak dan perangai media massa menganjurkan maklumat kepada masyarakat

- Advertisement -

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ia sebagai melihat kepada situasi hari ini yang banyak sangat perkara yang bohong dan fitnah disebarkan media massa khasnya media sosial.

“PAS pernah menyokong undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tahun 1957 ketika negara dalam keadaan darurat untuk menentang komunis dan golongan pelampau ketika itu,” tegasnya ketika ditemui di parlimen, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, walaupun kerajaan menyalahgunakan ISA apatah lagi ramai kalangan ahli PAS dikenakan hukumen tersebut, namun dari sudut moral PAS menyokong ISA demi keselamatan negara.

“Begitu juga menghidupkan moral yang luhur dan mulia, kita menyokong Akta Berita Tidak Benar ini.

“Negara kita menghadapi beberapa kali pindaan undang-undang, itu sebagai satu langkah yang awal untuk membuat perubahan.

“Dalam Islam ianya diserahkan dalam undang-undang ta’zir, iaitu diserahkan kepada budi bicara badan kehakiman dan pihak pemerintah.

“Ada kemungkinan berlaku salah guna pada akta ini, namun PAS melihat dari sudut pandang kesan positif bagi mendidik rakyat serta memberikan kemudahan jika PAS diberikan kemenangan tanpa perlu meminda, hanya melaksanakan sahaja,” ujar beliau.

Tuan Guru Abdul Hadi berkata bahawa PAS adalah satu-satunya parti yang tidak membenarkan maklumat fitnah dan diharamkan oleh agama.

Beliau menambah, berbeza dengan parti lain yang boleh melakukan apa sahaja.

“Mungkin akan terhalang tindakan mereka pada masa akan datang, maka kerana itulah mereka membangkang undang-undang tersebut dilaksanakan.

Menurut beliau lagi, manakala Umno pula beranggapan mereka masih berkuasa dan boleh menyalahgunakannya tetapi PAS melihat dari aspek moralnya, wajib menyokong akta tersebut.

RUU Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam bertujuan mengekang penyebaran berita palsu dan mewujudkan langkah-langkah pencegahan. – HARAKAHDAILY 3/4/2018

- Advertisement -