Mengawasi kebebasan bersuara

- Advertisement -

SECARA fitrah, manusia perlu hidup secara berperaturan. Mereka tidak boleh dibiarkan hidup bebas sebebas-bebasnya hingga terbabas menjadi haiwan. Manusia mempunyai maruah dan integriti yang perlu dipelihara. Pemeliharaan terhadap nilai manusiawi tersebut menggambarkan kualiti sesebuah masyarakat.

- Advertisement -

Bebas hingga menceroboh

Menjadi satu hajat yang cukup universal, setiap individu mahu bebas berkata dan bertindak menurut kemahuan masing-masing. Namun seringkali manusia lupa akan had kebebasan masing-masing.

Akhirnya kebebasan yang dijulang-julang menjadi pencerobohan ke atas hak orang lain. Mempersenda, menjatuhkan maruah orang, memfitnah dan memanipulasi maklumat yang salah merupakan aktiviti normal bagi ‘pejuang’ kebebasan haiwan.

Politikus celaka

Penyakit ini banyak melanda ke atas politikus. Ditambah lagi dengan pemikiran Machiavellisme yang beranggapan asalkan beroleh kemenangan, semuanya boleh dilakukan. Menyeleweng dan memfitnah merupakan strategi politik kata mereka. Asalkan menang, dosa pun boleh dilanggarnya.

Immanuel Kant

Ahli falsafah yang hidup ketika era Revolusi Perancis itu, turut mengulas isu kebebasan yang menjadi teras kempen revolusi tersebut. Menurutnya erti kebebasan bukan bermaksud bebas melakukan apa sahaja.

Bahkan beliau menegaskan konsep ‘Categorical Imperatives’. Iaitu jika kita tidak suka orang melakukan keburukan ke atas kita, maka kita jangan buat perkara yang buruk ke atas orang. Begitu juga sebaliknya, jika kita suka orang menyumbang kebaikan untuk kita, maka kita perlu buat baik untuk orang lain.

Logik ini merupakan sempadan kebebasan yang diperbahaskan oleh Kant. Agar masyarakat Barat yang sedang obses dengan kebebasan tidak terus liar beralasankan mengekspresi kebebasan masing-masing.

Kita tidak bebas menjatuhkan maruah orang kerana kita tidak suka maruah kita dijatuhkan. Kita tidak bebas menipu kerana kita tidak sanggup ditipu. Kita tidak bebas menyeleweng kerana kita tidak suka diseleweng.

Itu merupakan logik yang telah tersedia dalam fitrah pemikiran manusia yang normal. Supaya isu ini boleh diterima dan difahami oleh semua orang termasuk politikus-politikus yang tidak beriman.

Tabayyun

Islam merupakan peraturan hidup. Antaranya Islam menyediakan kaedah mengurus berita. Mana-mana berita mestilah diselidiki. Mana-mana dakwaan mestilah beserta bukti dan saksi. Ia mestilah diurus dengan saksama serta diadili tanpa diskriminasi.

Islam juga menekankan soal dosa menyembunyikan penyelewengan. Kefahaman ini penting untuk memastikan penyeleweng tidak berselindung di sebalik akta anti berita tidak benar.

Inilah Islam. Agama sederhana yang tidak memberi ruang kepada dua kutub sifat melampau. Melampau memfitnah orang lain dan melampau menyembunyi penyelewengan.

Liar

Jika kita amati pada hari ini, masyarakat dari segenap lapisan menjadi semakin liar. Krisis moral tersebut selalunya dilapik dengan slogan kebebasan.

Apa yang pasti, mereka yang merasa cukup bebas di dunia tidak akan bebas di akhirat. Semuanya akan disoal dan mustahil untuk terlepas dari mahkamah Allah.

ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD 
3 April 2018 – HARAKAHDAILY 3/4/2018

- Advertisement -