Kerja jamaah bukan untuk ‘promote’ diri

- Advertisement -

BUAT kerja jamaah adalah untuk jamaah. Jangan buat kerja jamaah untuk ‘promote’ diri sendiri. Angkatlah orang yang boleh membantu jamaah walaupun anda tidak menyukainya. Jangan angkat orang yang tidak dapat membantu jamaah walaupun anda sangat suka kepadanya.

- Advertisement -

Berada dalam jamaah jangan tamak. Jika dipanggil anda datang dan jika dilupai anda tetap berjuang. Jangan cantas orang nanti anda akan dicantas penuh hina. Jangan ingat keadaan anda pada hari ini kekal begitu selamanya. Keadaan akan berubah.

Mungkin satu masa nanti orang yang anda sisih itu berada di atas anda. Oleh itu jangan sombong, jangan ujub dan jangan mudah lupa siapa anda dan siapa orang di sekeliling anda.

Melangkahlah penuh ikhlas walau tidak pernah dipandang. Awas dengan pujian dan jangan gundah dengan cacian. Redha Allah itu keutamaan nescaya anda akan dimuliakan oleh hamba Allah yang soleh.

Berteguhlah dengan amalan Islam walau sesibuk mana pun anda. Jika anda sudah berada di atas, jangan pandang rendah orang di bawah, kerana merekalah dahulu yang mengangkat anda. Jika anda di bawah, dukung dan sokonglah orang di atas agar mereka sukses memimpin anda.

Teman dan adik-adik serta anak-anak para pejuang semua. Sedikit pengalaman dalam perjalanan ini telah saya saksikan banyak perkara yang saya sebutkan di atas. Waspadalah dengan tipu daya syaitan yang sentiasa bekerja menyesatkan kita dari jalan Allah.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 3/4/2018

- Advertisement -