Gagal umum logo sama petunjuk PH bermasalah

- Advertisement -

DI dalam ucapan beliau sewaktu melancarkan Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) di PDM Ayer Pa’abas, N5 Taboh Naning, Melaka, pada hari Ahad, 1 Mac lalu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution, menyebut Majlis Presiden PH akan mengumumkan pada hari ini, Selasa, 3 April, logo sama yang akan digunakan oleh PH.

- Advertisement -

Kata Datuk Saifudin, “pada dasarnya tiga parti telah pun bersetuju untuk logo PKR itu digunakan cuma DAP minta tempoh kerana DAP berpendapat bagi kawasan-kawasan ditandingi DAP adalah lebih mudah untuk mereka yang dah biasa dengan logo DAP” dan “DAP minta tempoh hingga Isnin malam untuk CEC mereka buat ketetapan”.

Kata Datuk Saifudin lagi, dua kemungkinan akan berlaku pada hari ini, iaitu “pertama pengumuman tiga parti bersetuju guna satu logo dan kita exclude (kecualikan) DAP kerana alasan-alasan yang tertentu” atau “kalau Isnin malam keputusan CEC DAP Pusat itu bersetuju maka (hari ini) adalah pengumuman kita empat parti akan gunakan satu logo”.

Malangnya, hari ini, bila Tun Dr Mahathir ditanya oleh wartawan mengenai penggunaan logo sama ini beliau kelihatan terdiam sejenak sebelum menjawab “kita akan announce (umumkan) tak lama lagi” dan, bila ditanya lagi sama ada Mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini gagal memutuskan perkara ini, mengakui “belum ada keputusan”.

Sangat pelik untuk Mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini tidak membuat keputusan mengenai perkara ini bila Tun Dr Mahathir pada 6 Mac lagi telah mengumumkan bahawa keputusan mengenainya akan dibuat dalam tempoh seminggu, iaitu 15 Mac, dan bila Datuk Saifudin menyebut pengumuman mengenainya akan dibuat pada hari ini.

Jika Mesyuarat DAP malam tadi bersetuju menggunakan logo sama maka sudah tentu keputusan semua empat parti dalam PH akan menggunakan logo sama telah diumumkan hari ini, tetapi bila pengumuman mengenainya tidak dibuat, di sebalik pendedahan ia akan dibuat, maka sudah tentu persetujuan DAP tidak diperolehi.

Ini menunjukkan bahawa Tun Dr Mahathir telah hilang kawalan ke atas PH di mana DAP tetap diberikan ruang istimewa untuk tidak bersetuju walaupun Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 27 Februari lalu telah pun memutuskan bahawa semua empat parti dalam PH akan menggunakan logo sama di dalam PRU 14.

Kesian juga bila Tun Dr Mahathir hari ini sekali lagi terpaksa dicoach dan diperbetulkan oleh beberapa pemimpin PH lain, termasuk bila beliau menyebut “GLC akan dimansuhkan tapi berperingkat-peringkat”, yang diperbetulkan menjadi “GST akan dimansuhkan dalam 100 hari”, yang mendorong beliau mengakui beliau “dah tua”. Dah tua rupanya Tun Dr Mahathir ini ya. – HARAKAHDAILY 3/4/2018

 

- Advertisement -