SPRM: Kelantan buka pintu 25 jam sehari

- Advertisement -

KEMAMAN: Rakyat Terengganu ditawarkan memilih Kerajaan PAS memerintah negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, jika mahu melihat prestasi pentadbiran dan kewangan diurus dengan bersih dan amanah.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Negeri Kelantan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, Kerajaan PAS Kelantan yang memerintah selama 28 tahun hingga kini bebas dari unsur rasuah.

Bahkan kata beliau lagi, Kerajaan PAS Kelantan sedia membuka pintu 25 jam sehari kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jika kita (rakyat) mahu kewangan Terengganu bersih, rasuah tidak ada, penyelewengan tidak ada, bebas dari sebarang skandal. Rakyat kena tukar Kerajaan Negeri Terengganu bagi kepada PAS memerintah, InsyaAllah.

“Di Kelantan, kita (PAS) jadi kerajaan 28 tahun tidak ada siasatan oleh SPRM. Kerajaan PAS Kelantan buka pintu 25 jam sehari untuk pihak SPRM boleh masuk bila-bila masa sahaja.

“Terbukti tidak ada langsung pemimpin politik Kerajaan PAS Kelantan disiasat oleh SPRM berbanding dengan pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH),” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana Himpunan Kekalkan Dun Chukai (HKDC) 2.0 di Dataran Tok Guru, Kampung Geliga Besar, Chukai, di sini kelmarin.

Ustaz Ahmad Fadhli turut menjelaskan prestasi kewangan Kerajaan PAS Kelantan mendapat pujian dari Laporan Ketua Audit Negara.

“Apa yang kita (PAS) buat 28 tahun “Membangun Bersama Islam” di Kelantan. Bila kita jadi kerajaan, prestasi kewangan kerajaan negeri Kelantan dipuji oleh laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.

“Laporan kewangan kerajaan negeri sentiasa mencatat kenaikan dari sudut pendapatan. Pada tahun 2013, pendapatan negeri Kelantan dianggarkan RM535.95 juta termasuk royalti minyak RM200 juta.

“Ini ucapan Bajet Kelantan yang ditulis dalam teks Bajet 2012 lalu. Tapi, hakikatnya royalti minyak Kelantan masih tidak dibayar oleh Kerajaan Pusat hingga hari ini. Maknanya, pendapatan kerajaan negeri cuma RM335.95 juta sahaja.

“Tahun 20018 ini, kita (PAS) berjaya meletakkan anggaran pendapatan kita RM696.9 juta dan naik lebih sekali ganda iaitu meningkat 107.44 peratus.

“Pendapatan kerajaan negeri Kelantan tahun 2017 sebanyak RM566 juta dan kita belanja RM527 juta dan ada lebihan RM39 juta atau surplus. Kami di Kelantan, royalti minyak dinafikan,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, Laporan Ketua Audit Negara tahun 2016 juga meletakkan 99 peratus markah Pejabat Menteri Besar Kelantan dan Pejabat SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) seluruh Malaysia.

Oleh itu menurut beliau, tidak ada sebab bagi rakyat Kelantan mahu menukar Kerajaan PAS kepada mana-mana parti lain yang terbukti terlibat rasuah. – HARAKAHDAILY 2/4/2018

- Advertisement -