Memperanan Muslimat PAS di medan masyarakat

- Advertisement -

TAWAU: Muslimat PAS mampu menggerakkan peranan ‘semak dan imbang’ dalam menangani pelbagai isu negara dan rakyat walaupun berada di wadah parti bukan pemerintah.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu berkata, gerakan padu dan berani ke hadapan dengan memperkasa dan mengembangkan potensi perlu dilatih dalam diri.

Beliau berkata demikian pada ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah Kali Ke-28 yang dilangsungkan di sini kelmarin.

Norsah mengemukakan beberapa isu kritikal Sabah antaranya sebagai negeri ketiga kadar tertinggi kes rogol di Malaysia yang majoriti mangsa adalah wanita muda.

Selain itu ajunya, Sabah juga mencatat kes kebakaran kawasan setinggan tertinggi dan meningkat di Malaysia sejak tahun 2015 hingga 2017.

Terangnya, isu-isu sedemikian menuntut Muslimat PAS berterusan merasai degup jantung keperitan hidup rakyat antaranya mengukuhkan institusi kekeluargaan dengan pendekatan tertentu.

Bahkan serunya, menggerakkan peranan bersama pihak lain sama ada swasta, persatuan atau NGO untuk memastikan pihak kerajaan mengambil langkah sewajarnya terhadap setiap isu rakyat.

Setidak-tidaknya menurut beliau, peranan ‘semak dan imbang’ yang dikuasakan oleh tindakan Muslimat PAS akan mewujudkan kawalan terhadap unsur penyelewengan kuasa dilakukan pihak berkenaan.

Pun begitu nasihatnya, agar mempunyai kekuatan bagi mendukung peranan sedemikian, Muslimat PAS hendaklah bersifat Akifi yakni memiliki roh jihad melaksanakan kerja dengan meletak sepenuh jiwa pergantungan kepada Allah. – HARAKAHDAILY 2/4/2018

- Advertisement -