TASEK GELUGOR: Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Pulau Pinang telah mengadakan majlis pemakaian pangkat di Dewan Kompleks Pusat Pengajian Darul Hadis, di sini semalam.
Seramai 25 anggota melibatkan kalangan pelajar dianugerahkan pangkat masing-masing berdasarkan kelulusan dari penilaian terhadap kemahiran dan komitmen diberikan.
Pemakaian pangkat tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Norazman Ishak melibatkan anggota pelajar dari SMISAT, Pondok Turath, Darul Hadis dan Akademi Al-Quran As-Syamil.
Istiadat tersebut menjadi sebahagian usaha Jabatan Amal Pulau Pinang menstrukturkan kepimpinan pelapisnya supaya generasi muda bersiap mengisi kekosongan peranan di masa depan.
Kata Norazman, pangkat bukan untuk berbangga dan bermegah, tetapi pengiktirafan sebagai pemimpin kerana melaksana tanggungjawab atas amanah diberikan.
“InsyaAllah, suatu hari nanti, saya akan berada dalam baris dan kamu semua akan berada di hadapan menjadi kepimpinan,” ujarnya kepada seluruh Kadet Amal dan Amal Banat. – HARAKAHDAILY 2/4/2018