PAS harapan pimpin kebangkitan dan kemuliaan Islam

- Advertisement -

SIK: Umno-BN tidak boleh lagi diberi peluang memerintah setelah mandat sekian lama daripada rakyat dicemari dan dikotori hingga nilai kerosakannya sukar untuk dipulihkan.

- Advertisement -

Perkara demikian ditegaskan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Sik Kali Ke-34 di Kompleks PAS Sik, Sungai Pau, di sini kelmarin.

Menurutnya, tindakan BN telah menyebabkan beban dan derita kepada rakyat antaranya peningkatan kos sara hidup kesan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan kepada semua termasuk ke atas golongan miskin.

Jelasnya, kenaikan kos sara hidup menyebabkan kuasa beli rakyat melemah yang secara tidak langsung membantutkan pertumbuhan ekonomi negara.

Bebanan juga menurutnya, berlaku di sektor pendidikan apabila pelajar dibeban dengan yuran termasuk di peringkat mahasiswa yang dihambat dengan hutang pengajian tinggi (PTPTN).

Namun jelas beliau, keruntuhan ekonomi kapitalis itu akhirnya berlaku bersama kemelesetan akhlak dan moral kerana mengikut budaya Barat hingga turut mengancam tamadun umat Islam itu sendiri.

Tidak sekadar itu katanya, umat telahpun menyaksikan kemusnahan peradaban manusia yang dahsyat bermula dari kepincangan politik kerana berkiblatkan pendekatan ala Machievelli.

Maka tegas Ahli Parlimen Temerloh itu, tidak ada jalan melainkan umat Islam perlu bangkit menjadi umat terbaik dengan menegakkan ma’ruf dan mencegah munkar serta beriman kepada Allah.

Yaknilah seru beliau, membina masa depan manusia dengan cara Islam melalui ketakwaan dalam segala urusan hingga menghadirkan kesejahteraan kehidupan berlandas syariat Allah.

Tanggungjawab itu aju beliau, mestilah ditunaikan oleh anggota Gerakan Islam dengan penuh istiqamah dan menjadi umat terbaik pada aspek politik, ekonomi dan sosial hingga melahirkan generasi beradab dan berakhlak.

Sekali gus menurut beliau, menyelamatkan umat dari terus terhina dan lemah berpanjangan, selain terus terancam dan terkepung akidah, peradaban dan pemikiran mereka oleh idealogi asing dibawa Barat yang sebenarnya cuba meruntuhkan Islam itu sendiri.

Nasrudin juga menyeru supaya menjaga tiga perkara iaitu bersama melakukan gerak kerja menguatkuasakan syariat Allah, menentang segala jenis kemunkaran dan meningkatkan keimanan kepada Allah.

“Di saat umat berhadapan situasi inilah, masyarakat Islam mengharapkan PAS sebagai Harakatul Islamiyah di Malaysia untuk memimpin kebangkitan hingga dapat keluar dari kemelut ini.

“PAS menjadi sandaran kembalikan semula kemuliaan umat Islam dan pilihan raya terdekat ini adalah waktu terbaik untuk menunaikan semua itu dengan memenangkan Islam,” seru beliau. – HARAKAHDAILY 1/4/2018

- Advertisement -