Sheikh Omar calon MB Johor DAP?

- Advertisement -

DALAM wawancara beliau dengan portal berita Malaysia Kini pada 27 Mac lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak yang juga Pengerusi PPBM Perak, Ahmad Faizal Azumu, merayu kepada DAP supaya tidak meletakkan calon Melayu di mana-mana kerusi Dun Perak.

- Advertisement -

Kata Ahmad Faizal kepada DAP, kalau mahu menang, kalau mahu undi Melayu, jangan letakkan calon Melayu di mana-mana kerusi Dun kerana jika itu dilakukan ia akan menghantar isyarat kepada pengundi Melayu bahawa DAP mahu ketuai kerajaan negeri.

Masalah yang dibangkitkan oleh Ahmad Faizal ini tidak terhad kepada Perak sahaja malah di negeri-negeri lain seperti Johor juga yang menyaksikan DAP muncul pemenang terbesar antara semua parti pembangkang bagi kerusi Dun Johor di dalam PRU 13, iaitu 13.

Apatah lagi bila Pengerusi DAP Johor merangkap Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, telah mengumumkan di dalam Konvensyen DAP Johor pada 11 Oktober 2015 lagi bahawa DAP perlu melengkapkan diri sebagai bakal pewaris Kerajaan Johor.

Jika dilihat kepada senarai nama kesemua 13 calon Dun DAP di Johor yang kesemuanya mencapai kemenangan di dalam PRU 13, maka akan didapati bahawa kesemuanya adalah bukan Melayu bukan Islam, dan tidak ada seorang pun adalah Melayu Islam.

12 daripada 13 Adun DAP Johor ini adalah berbangsa Cina, iaitu Adun N2 Jementah, Tan Chen Choon; Adun N6 Bekok, Lim Eng Guan; Adun N10 Tangkak, Ee Chin Li; Adun N12 Bentayan, Chua Wee Beng; Adun N19 Yong Peng, Chew Peck Choo; Adun N23 Penggaram, Gan Peck Cheng; Adun N28 Mengkibol, Tan Hong Pin; Adun N42 Johor Jaya, Liow Cai Tung; Adun N45 Stulang, Chen Kah Eng; Adun N46 Pengkalan Rinting, Cheo Yee How; Adun N48 Skudai, Boo Cheng Hau; Adun N52 Senai, Wong Shu Qi; dan Adun N55 Pekan Nenas, Yeo Tung Siong.

Satu daripada 13 Adun DAP Johor ini pula adalah berbangsa India, iaitu Adun N30 Paloh, Shanker A/L Rengganathan. Semalam, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, mengumumkan seorang Melayu Islam, bekas ahli PAS yang menyertai DAP pada 20 Jun 2015 dengan diberikan jawatan Pegawai Khas Kepada Pengerusi DAP Johor, iaitu Sheikh Omar Ali, sebagai calon Dun N30 Paloh dari DAP.

Sekali gus isyarat yang dihantar kepada pengundi Melayu Johor, seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi PH Perak, ialah bahawa DAP mahu ketuai kerajaan negeri di Johor, dengan persepsi bahawa Sheikh Omar Ali adalah calon Menteri Besar Johor dari DAP.

Sheikh Omar Ali inilah yang dalam wawancara dengan lidah rasmi DAP, Roket Kini, pada 8 September 2015 membataskan urusan beragama kepada soal peribadi individu dengan menyebut, “Bagi DAP, urusan beragama adalah bersabit seorang hamba dengan tuhannya”.

Kita lihat sahaja sejauh manakah benarnya telahan Pengerusi PH Perak bahawa tindakan DAP meletakkan calon Melayu di mana-mana kerusi Dun di Perak, yang terpakai juga di negeri lain, akan menyebabkan pengundi Melayu tidak mengundi PH. Awal-awal lagi DAP dah tak hormat pandangan PPBM nampaknya. – HARAKAHDAILY 31/3/2018

- Advertisement -