Tawaran Manifesto PAS Selangor Sejahtera

SHAH ALAM: Manifesto PRU14 “Selangor Sejahtera” yang menampilkan 10 Teras Utama telah dilancarkan PAS Negeri Selangor bersama rakan Gagasan Sejahtera di Hotel Carlton, di sini semalam.
 
Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi menyempurnakannya bersama Pengerusi Ikatan Selangor, Dato’ Seri Mohamad Badri Abd Rahman dan turut dihadiri bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
Teras Utama itu menyenaraikan kesejahteraan berkerajaan, beragama dan budaya, pendapatan, pendidikan, wanita dan keluarga, anak muda, kesihatan, ekonomi tani, kediaman dan alam sekitar.
 
Antara tawaran manifesto tersebut adalah untuk meneruskan pemberian air percuma selain bantuan tambang bas sekolah dan RM500 untuk wanita bersalin.
 
Di bawah Teras Pendapatan, PAS Selangor ujar Sallehen, menjanjikan pendapatan bantuan makanan asasi kepada golongan sasaran secara bulanan dan perluasan ekonomi digital.
 
Manakala di bawah Teras Wanita dan Keluarga jelasnya, insentif RM150 kesihatan dan keanggunan wanita, bimbingan perkahwinan dan kesejahteraan rumahtangga disediakan, selain bantuan kelangsungan hidup ibu tunggal.
 
Bagi golongan belia kemuka beliau, disedia insentif, kemudahan, latihan bagi menggilap kemahiran futuristik industri 4.0, selain usahawan muda, sukarelawan, kecergasan dan sukan.
 
Berkaitan kesihatan pula bentangnya, ditawarkan takaful, insentif RM200 pemeriksaan kesihatan bagi umur 40 tahun ke atas, pengangkutan Orang Kelainan Upaya dan warga emas ke hospital. -HARAKAHDAILY 30/3/2018
Advertisement