Persempadanan semula untuk menangkan BN

- Advertisement -

MEMANG Terengganu sangat layak dapat pertambahan kerusi. Negeri seluas Terengganu hanya ada 8 kerusi parlimen sahaja. Negeri jiran terdekat Kelantan ada 14 kerusi parlimen. Kali terakhir Terengganu dapat pertambahan kerusi pada tahun 1984 semasa saya masih belajar dalam darjah empat. Sekarang saya dah ada anak empat, jumlah kerusi masih sama.

- Advertisement -

Buat apa sekadar ubah sempadan dengan ubah keluar masuk lokaliti dan Pusat Daerah Mengundi (UPU mengikut istilah PAS) untuk memenangkan Umno. Ia tak mencapai maksud persempadanan dibuat kalau sekadar ejah (ubah) atas modal sama.

Parlimen Setiu tempat saya saya mengundi contohnya, keluasan dalam kawasan parlimen jauhnya sehingga boleh jamak qasar sembahyang. DUN Jabi berada dalam pentadbiran Kerajaan Tempatan Daerah Besut. DUN Permaisuri dan Langkap dalam Daerah Setiu sementara DUN Batu Rakit dulunya dalam Daerah Kuala Terengganu sebelum bertukar jadi Daerah Kuala Nerus.

Bermakna dalam Parlimen Setiu, terdapat tiga Kerajaan Tempatan, Besut, Setiu dan Kuala Nerus. Adakah ini praktikal? Sedangkan SPR sendiri mengariskan antara faktor penting dalam menentukan persempadanan ialah sempadan pentadbiran Kerajaan Tempatan. Jelas SPR tak patuh garis panduan mereka sendiri.

Pada tahun 1984, ketika kepadatan penduduk masih rendah, ianya munasabah. Tapi sekarang bilangan pengundi Setiu dah lebih 80,000. Tak layak lagi ke untuk dipecahkan dan ditambah kerusi parlimen baru?

Yang kita tuntut ialah pertambahan kerusi di negeri Melayu Islam yang secara langsung akan menambah bilangan kerusi Melayu Islam dalam parlimen. Walau Umno/BN tak ada majoriti dua pertiga dalam DUN atau Parlimen untuk meluluskan pertambahan kerusi, saya yakin PAS sebagai pembangkang boleh duduk bincang untuk kebaikan bersama.

PH saya tak tahu pendirian mereka sama ada boleh setuju atau tidak walau saya agak ragu mereka boleh bersetuju dengan pertambahan kerusi Melayu Islam.

Apa pun setelah Usul Persempadanan Baru diluluskan semalam, kena tunggulah 8 tahun lagi baru ada kajian semula.

DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat

HARAKAHDAILY 29/3/2018

- Advertisement -