Difitnah rakan PH selepas keluar PKR

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bekas Timbalan Ketua Cabang PKR Gua Musang, Syed Azhar Syed Alwi dituduh pelbagai dakwaan tidak masuk akal setelah membuat keputusan meninggalkan parti itu.

- Advertisement -

Antaranya konon diberi tanah seluas 100 ekar oleh kerajaan negeri sebagai habuan menyertai PAS kelmarin.

“Ada rakan dalam parti kompenan Pakatan Harapan membuat tuduhan tidak masuk akal terhadap saya selepas meninggalkan PKR.

“Ada juga yang menuduh mahu menjadi calon pada pilihan. Macam-macam lagi termasuk bekas rakan-rakan seperjuangan dalam PKR,” katanya di sini semalam. (Foto: Syed Azhar Syed Alwi ceramah sulung di pentas PAS.)

Syed Azhar bersama 83 penyokong di Dun Nenggiri Gua Musang menyerah borang menyertai PAS pada petang Selasa lepas.

Beliau terbabit dengan PKR semasa era reformasi, 20 tahun lampau semasa berkhidmat di sebuah kementerian di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun setelah ditukar bertugas di Gua Musang beliau dilantik sebagai ahli majlis Majlis Daerah Gua Musang pada 2010.

Dan selepas meletak jawatan sebagai penjawat awam, beliau dilantik sebagai Penyelia Dun Nenggiri selama empat tahun sehingga 31 Disember 2017.

Manakala ketika ceramah sulung di pentas PAS di Pengkalan Kubor malam tadi katanya biar pun tidak disambung khidmat sebagai Penyelia Dun akhir tahun lepas beliau tetap mahu mempertahankan kerajaan negeri.

“Saya tahu apa yang kerajaan negeri buat untuk rakyat. Ketika bertugas sebagai Penyelia Dun saya terbabit secara langsung mengagihkan bantuan kerajaan negeri.

“Skim beras percuma setiap bulan, takaful Kifaalah warga emas, skim az Ziwaaj bagi belia yang kurang mampu untuk berkahwin.

“Program-program tersebut sudah cukup untuk menggambarkan Kelantan benar-benar sebagai sebuah negeri berkebajikan,” katanya.

Hadir sama pada ceramah malam tadi Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi, Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong PAS Kelantan, Lau Chin Chua dan Penyelaras Dun Pengkalan Kubor, Ustaz Wan Ruslan Wan Hamat. – HARAKAHDAILY 29/3/2018

- Advertisement -