Sekatan dana Persekutuan punca isu air Kelantan

- Advertisement -
ISU air Kelantan adalah isu yang sengaja dinaikkan dan dihangatkan oleh Umno-Barisan Nasional dalam meraih sokongan rakyat Kelantan. Walhal sebenarnya, faktor terbesar yang menyebabkan isu air Kelantan adalah sekatan peruntukan dana dari Kerajaan Persekutuan. Namun Umno-Barisan Nasional masih lagi mengapi-apikan isu air di Kelantan.
 
Hakikatnya kualiti air Kelantan yang dikendalikan oleh Air Kelantan Sendirian Berhad, AKSB semakin baik dari semasa ke semasa.
 
Exco Perumahan, Kerja Raya, Utiliti Dan Alam Sekitar Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Kelantan terhadap perkara itu.
 
“Kerajaan juga menyedari bahawa air itu merupakan satu keperluanlah untuk kehidupan dan bekalan air bersih adalah satu khidmat kerajaan kepada rakyat. 
 
“Di mana jua di Semenanjung Malaysia ini kerajaan telah berusaha sedaya upaya mungkin untuk memastikan sebahagian besar rakyat negeri ini menikmati bekalan air bersih, yang terawat,” jelasnya.
 
Pengurus Besar Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) Ir Mohamad Hanapi Mahmud juga menyatakan dedikasi pihaknya.
 
“Sumber air kita ada kuman. Bila kita masuk loji, lepas daripada loji setakat ini kita tak ada E. coli. Sebelum (ini) ada. Dan selepas kita rawat tidak ada E. coli.”
 
Faktor utama masalah kualiti air loji rawatan air AKSB adalah implikasi pembekuan pinjaman dari Kerajaan Persekutuan dari tahun 1990 sehingga tahun 2000 yang menyebabkan kerja-kerja naik taraf mega tidak mampu dilaksanakan. 
 
Hanya komponen mekanikal dan elektrikal sahaja dinaik taraf secara dalaman kerana kosnya yang lebih murah. Majoriti loji rawatan air terpaksa beroperasi melebihi kapasiti reka bentuk asal menyebabkan timbul isu kualiti air iaitu kekeruhan dan baki klorin. 
 
Bagi mematuhi piawaian air bersih oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, binaan struktur baru loji rawatan air perlu ditambah atau dibina semula. 
 
Kos tinggi diperlukan iaitu sekitar RM2 juta bagi setiap satu juta liter sehari, tidak termasuk tangki dan paip agihan. AKSB mempunyai 32 buah loji rawatan air. 27 loji rawatan air mempunyai komponen rawatan yang lengkap. 
 
Lima loji rawatan air pula tidak mempunyai rawatan yang sempurna kerana tiada infrastruktur yang sepatutnya. Tetapi mempunyai air mentah. 
 
Menurut laporan pencapaian pematuhan kualiti air terawat bagi parameter QAP seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Ogos 2011, negeri-negeri yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan adalah Perlis, Pahang, Sabah dan Kelantan. 
 
Tahap yang dianggap tidak memuaskan ialah jika kandungan E. coli melebihi 4 peratus. Mengikut data daripada laporan tersebut, Sabah berada pada kedudukan yang paling teruk dengan peratusan 2.02 peratus. Diikuti oleh Pahang 1.01 peratus. Perlis 0.96 peratus. Dan Kelantan 0.90 peratus. 
 
Dalam usaha untuk memastikan kualiti air Kelantan terus berada pada keadaan yang lebih berkualiti, AKSB sentiasa memantau kualiti air Kelantan dengan menjalankan ujian kualiti air ke atas air Kelantan di Makmal Pusat Air Kelantan Sendirian Berhad.
 
Antara analisis yang dilakukan adalah ujian kimia bukan organik, mikrobiologi, kandungan besi, dan kandungan organik. Dengan menggunakan teknologi terkini yang ada di Makmal Pusat AKSB, kualiti air Kelantan akan terus dapat ditingkatkan seterusnya dapat menjamin kehidupan yang lebih sihat. -HARAKAHDAILY 28/3/2018
- Advertisement -