PAS Johor berada dalam kekuatan tersendiri

- Advertisement -
TEBRAU: Kekuatan PAS di Johor semakin terzahir dari dukungan akar umbi ahli, bahkan kemungkinan pertandingan tiga penjuru pada PRU14 juga memberi kelebihan kepada Parti Islam itu.
 
Demikian keyakinan dinyatakan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husin ketika menerima kunjungan wakil Kedutaan Singapura, Rajpal Singh dan Lin Jinyi di Pusat Khidmat Wakil Rakyat, di sini semalam.
 
Menurut Adun Puteri Wangsa itu, isu keluar parti yang berlaku kepada PAS dilihat besar kerana kebanyakan mereka itu terdiri daripada kalangan pimpinan, namun di Johor jumlahnya sekitar 10 hingga 15 peratus sahaja.
 
Pun begitu ujarnya, dengan keluarnya mereka itu dan menubuhkan wadah baharu PAN atau menyertai parti lain, hakikatnya PAS di Johor makin mantap apabila ahli di akar umbi kembali bergerak kerja meneguhkan kekuatan.
 
Wakil Kedutaan Singapura itu pada pertemuan tersebut mengajukan pelbagai kemusykilan khususnya terhadap kemampuan PAS berada di arena politik semasa atas beberapa peristiwa.
 
Namun, Ustaz Abdullah mensirnakan persepsi tersebut kepada realiti sebenar perkembangan berlaku kepada PAS termasuk melihat PAS bakal tercorot kesan pertandingan tiga penjuru PRU14 nanti.
 
Sebaliknya sangkal beliau, masing-masing parti mempunyai kelebihan dari pertembungan itu, namun kesannya paling minimum ke atas PAS kerana saingan parti lain juga bersama keretakan dalaman yang wujud.
 
Berbeza dengan PAS yang kini jelasnya, mengikat kesepaduan bersama parti dalam Gagasan Sejahtera dan dukungan NGO-NGO, sedang BN dan PH saling berpecah serta bercakaran sehingga kini.
 
Pada pertemuan mahabbah itu Ustaz Abdullah turut berkongsi pengalamannya dan PAS Johor yang telah melalui beberapa fasa kepimpinan dengan terus melangkah gagah hari ke hari, serta isu-isu negeri Johor. -HARAKAHDAILY 28/3/2018
- Advertisement -