“Kenapa tak panggil, kami sedia berbincang”

- Advertisement -

SHAH ALAM: Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad mempertikai tindakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang tidak menjemput negeri di bawah pembangkang bersama membincangkan masalah perumahan rakyat.

- Advertisement -

Kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar itu, sebelum Menteri KPKT sekarang mengambil alih kementerian, satu mesyuarat berkala di antara semua exco perumahan setiap negeri diadakan bersama Timbalan Menteri KPKT.

Malangnya tegas beliau, apabila bertukar Menteri KPKT, hanya negeri-negeri di bawah kuasa BN sahaja yang dipanggil untuk membincangkan masalah perumahan rakyat.

“Minggu lepas ada mesyuarat tapi dia panggil negeri BN. Kenapa tak panggil kami. Kami sedia berbincang,” katanya menjawab soalan tambahan ADN Permatang, Sulaiman Abdul Razak dalam sidang Dewan Negeri, pagi tadi.

Beliau menegaskan dalam isu perumahan perlu ada perbincangan di antara kerajaan Pusat dan negeri.

Menurutnya, banyak polisi baharu dibincangkan bersama kerana perumahan itu menyentuh masalah rakyat.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri bersedia untuk berbincang dan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat, tetapi mesti secara dua hala dan bukannya satu hala.

“Sebelum YB Menteri Perumahan (sekarang) ambil alih, ada satu mesyuarat berkala di antara semua exco perumahan di Malaysia bersama Timbalan KPKT. Dijemput Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan saya beberapa kali hadir,” katanya.

Sebelum itu, ADN Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari mengajukan soalan berhubung jumlah projek perumahan terbengkalai di Selangor.

Iskandar berkata, pada tahun 2008 terdapat 116 projek perumahan terbengkalai tetapi senarai itu tidak lengkap dan selepas kerajaan negeri mengambil alih banyak projek terbengkalai.

Katanya, kerajaan negeri lakukan dengan mengeluarkan sijil projek terbengkalai dan pembeli boleh membawa sijil tersebut kepada pihak bank untuk perbincangan.

Pihak kerajaan juga jelasnya, melalui Jawatankuasa projek rumah terbengkalai memanggil semua yang terlibat mengadakan perbincangan dengan pemaju yang asal untuk menyelesaikan masalah tersebut. – HARAKAHDAILY 28/3/2018

- Advertisement -