FB Live bersama Adun Chukai

- Advertisement -

PAS Dun Chukai telah menganjurkan Facebook Live dalam mengupas isu semasa Terengganu dan Kemaman di Pejabat PAS Kawasan Kemaman, Chukai, kelmarin. Program bertajuk “Anda Tanya YB Jawab” dengan format soalan dihantar melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan komen di Facebook itu menampilkan ahli panel iaitu Adun Chukai, Hanafiah Mat. Ikuti semula transkrip jawapan dan penjelasan ahli panel yang disediakan oleh Wartawan Rakyat, NORSAFWAN KHAIRI.

- Advertisement -

Latar belakang politik dan pengalaman pertama pilihan raya?

Saya berasal dari Dungun, berhijrah ke Kemaman pada tahun 1984, bekerja di Perwaja Steel Kemaman selama 24 tahun dan kemudiannya meletak jawatan untuk bertanding dalam PRU Ke-12.

Saya datang dari keluarga orang politik. Datuk saya yang merupakan ahli politik kepada sosialis, kemudian apabila parti tersebut jatuh atau tidak mendapat sambutan, datuk saya menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Sejak dari zaman persekolahan lagi, saya minat berpolitik dan saya banyak membaca artikel-artikel tentang politik.

Pengalaman piliharaya bermula pada tahun 2008, kawan-kawan banyak membantu ketika itu, dan jawatan ketika itu merupakan Setiausaha PAS Kawasan Kemaman. Ketika dicalonkan, tidak ada bantahan atau sabotaj dari mana-mana pihak dari segala cabang dan sudut.

Namun ketika itu, tsunami Cina di Kemaman tidak berlaku, Alhamdulillah pada PRU Ke-13, berlakunya pengundi Cina menyokong PAS dan di situlah bermulanya kejayaan di Dun Chukai.

Bagaimana pemilihan calon PAS dijalankan?

Bukan sifat ahli PAS meminta-minta jawatan, namun apabila saya dicalonkan, saya bersujud kepada Allah S.W.T, memohon petunjuk adakah saya mampu untuk menjadi calon.

Pemilihan bermula dengan mendapatkan senarai nama atau cadangan dari Cawangan seluruh Dun, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan orang ramai. Kemudian, nama disaringkan atau di kecilkan sehingga mendapat nama yang layak.

Nama yang dicalonkan akan diangkat kepada majlis syura untuk di analisa sama ada calon ini ada terlibat dengan dosa besar atau mengekalkan dosa kecil, jika ada, calon ini akan ditolak. Jika tiada, Majlis Syura Ulamak akan membawa nama ini kepada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat untuk ditentukan, barulah nama ini di bawa keperingkat negeri.

Bolehkah YB ceritkan sedikit apa yang telah berlaku setelah YB peroleh kemenangan?

Selepas menang pada PRU ke 13, perkara pertama yang membuatkan saya terkilan adalah apabila Umno tidak memberi peruntukan kepada wakil rakyat daripada PAS atau pembangkang.

Kami juga tidak dipanggil untuk hadir ke Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah, begitu juga Mesyuarat Majlis-majlis Daerah atau Pembandaran. Di sini sudah berlaku satu diskriminasi, kerana politik di Terengganu sangat tajam.

Lalu kami daripada PAS, berusaha mencari kewangan sendiri bagi memastikan semua cadangan dan projek-projek dapat dilaksanakan dan secara peribadi saya sendiri pun banyak menyumbangkan kewangan kepada fakir miskin, anak-anak yatim dan NGO-NGO. Namun sumbangan kita sangat terbatas.

Mereka daripada Umno mendapat peruntukan RM1 juta, mereka jalankan aktiviti dan projek-projek mereka, sedangkan kami bergerak dengan kewangan sendiri. Bayangkan jika kami mendapat peruntukan tersebut, tentunya lebih banyak perkara yang kita akan buat untuk membantu rakyat dengan rekod pemimpin kita yang tidak menyeleweng dan rasuah.

Bolehkan YB komen sedikit berkenaan jawapan menteri di Dewan Rakyat baru-baru ini yang tiada pemimpin PAS disiasat oleh SPRM?

Ini merupakan satu bukti, bahawa PAS merupakan parti yang bersih dan dipimpin oleh pemimpin yang bersih. Inilah hasil tarbiyah dan perjuangan yang dibawa oleh Presiden PAS, bermula dari Presiden yang pertama sehingga sekarang dan ini merupakan rahsia kekuatan PAS dapat bertahan sehingga kini.

Apakah solusi PAS terhadap Zoo Kemaman sekiranya diberi mandat memerintah Terengganu?

Zoo Kemaman merupakan nostalgia kepada saya kerana ia telah membawa saya ke Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan disebabkan satu artikel yang tidak tahu dari mana datangnya di bawa ke mahkamah kononnya dikeluarkan oleh PAS.

Zoo Kemaman menelan belanja hampir RM100 juta dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri. Perkara pertama yang menyedihkan saya hari ini, Taman Tema Air yang menelan belanja RM2 juta itu hanya dapat beroperasi beberapa bulan dan kemudiannya rosak hampir 6 tahun sehingga kini.

Binatang di sana tidaklah banyak, namun perbelanjaannya setahun hampir RM3 juta. Sedangkan pendapatannya hanya sekitar RM700,000 – RM800,000 dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) terpaksa menanggung lebih RM2 juta untuk perbelanjaan operasi dan penyelengaraan.

Jika PAS memerintah, saya mencadangkan binatang-binatang yang ada diberikan kepada syarikat swasta supaya menjadi ayah angkat kepada binatang tersebut. Syarikat itulah yang akan memastikan makan, minum dan kesihatan seperti yang di lakukan di Zoo Negara. Maka beban MPK tidaklah begitu tinggi.

PAS akan ubah cara pengurusan, kita akan baiki dan kita tidak akan tutup Zoo ini, Insyaallah, kerana Zoo ini juga merupakan inspirasi kepada anak-anak kami.

Bolehkan ulas berkenaan Pulau Bebas Cukai di Tasik Kenyir dan Bas Amphicoach? 

Projek Kenyir ini memakan belanja hampir RM500 juta dan saya bertanya dalam sidang DUN bilakah projek Tasik Kenyir ini akan siap dan beroperasi. Apabila berlaku banjir besar baru-baru ini, sebahagiannya telah tenggelam dan rosak.

Sebab itu, setiap projek kerajaan sepatutnya di kaji terlebih dahulu adakah ia memberi keuntungan kepada rakyat atau tidak. Kerajaan hanya menjalankannya semata-mata ingin menampakkan adanya projek berjalan atau hanya untuk menguntungkan  kroni-knoni dan ini yang nampaknya sedang berlaku. Dan saya menyeru pihak SPRM untuk menyiasat projek ini dan Zoo Bukit Takal.

Berkenaan bas, kita berbahas di dalam sidang DUN menentang dan menyenaraikan kelemahan pembelian bas ini, namun bas ini dibeli juga dan harganya RM3 juta sebuah dan dibeli dua buah. Hampir 3 tahun lebih bas ini dibeli akhirnya sampai bulan lepas, namun setelah beberapa siri percubaan, bas telah mengalami kerosakan.

Ramai penduduk di sini terlibat dengan industri `Oil and Gas’, apabila berlaku krisis harga minyak menurun, ramai yang dibuang kerja atau hilang pekerjaan, apakah tindakan?

Saya dah bawa kes ini di sidang DUN yang lepas, apa yang saya nyatakan hampir 30,00 ribu atau lebih telah kehilanga pekerjaan di industri ini dan menyebabkan mereka keluar daripada Kemaman. Sebahagian besar ke Johor, sebahagian ke Kedah dan sebahagian balik kampung. Apabila mereka keluar daripada Kemaman, ekonomi di Kemaman jatuh merudum.

Saya sarankan kepada kerajaan supaya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada daerah Kemaman yang kerajaan telah meletakkannya sebagai daerah industri dan kerajaan perlu pastikan bahawa, kilang-kilang yang sedia terus beroperasi supaya dapat membina peluang pekerjaan di Kemaman.

Selain itu, perlabuhan Kemaman agak malap jika dibandingkan dengan perlabuhan Kuantan, sedangkan laluannya lebih dalam dan lebih baik dan jika perlabuhan ini dimajukan, ia akan membuka peluang pekerjaan di Kemaman.

Isu yang bermain di bibir rakyat adalah Goods and Services Tax (GST), apakah solusi?

Saya berjumpa dengan tokoh usahawan Cina di Kemaman beberapa hari lepas, katanya dahulu paling minima, boleh dapat keuntungan RM2,000 sehari, tetapi sejak adanya GST dia hanya mendapat sekitar RM100 sehari. Ini menunjukkan GST ini bukan sahaja menindas pembeli, malah kepada peniaga. Banyak kedai-kedai terpaksa di tutup ekoran daripada GST dan dalam manifesto PAS, GST akan dihapuskan.

Apakah tawaran PAS Terengganu?

PAS Negeri Terengganu sudah mengatur langkah dan strategi, dan kita bersedia untuk kali ketiga melangkah ke Wisma Darul Iman. PAS negeri Terengganu telah menawarkan 20 manifesto kepada rakyat, antaranya Karnival Kahwin kali pertama, pemberian RM300 untuk anak muda dapatkan lesen motosikal, buka permohonan tanah baru dengan geran kekal dan mengecualikan cukai pintu rumah kediaman.

Saya harap, pada PRU 14 akan datang, rakyat membuka mata dan minda, inilah masa yang terbaik untuk membuat perubahan dan berikan kepercayaan kepada kami (PAS) untuk memerintah negeri Terengganu.

Apakah pesanan kepada pengundi-pengundi di DUN Chukai?

Saya merayu kepada pengundi-pengundi yang telah memberikan undi kepada saya pada PRU 13, untuk memberi undi kepada saya sekali lagi untuk sama-sama kita memastikan Dun Chukai di kekalkan kemenangan dalam pilihan raya kali ini.

Kepada pengundi pertama kali, marilah bersama-sama mengundi PAS untuk sama-sama menumbangkan Umno-Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. Saya yakin PAS mampu membawa rakyat ke arah yang lebih baik. – HARAKAHDAILY 28/3/2018

- Advertisement -