Ambang PRU: Ketahanan mendepani Ahzab

- Advertisement -

AHZAB merupakan senario berpanjangan hingga kiamat yang mesti dihadapi oleh umat Islam. Allah memperuntukkan surah yang spesifik berkenaan Ahzab. Bahkan umat Islam disarankan untuk memperingati ancaman Ahzab di dalam takbir raya yang disambut dua kali setahun. Ini menggambarkan betapa peristiwa tersebut penting untuk difahami, agar menjadi panduan ketika mendepani kepungan musuh.

- Advertisement -

Tiga pendirian penting

Surah al-Ahzab dimulakan dengan penegasan sikap yang perlu diambil oleh pendukung Islam saat berdepan dengan Ahzab:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ اتَّقِ اللَّهَ وَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَالْمُنَافِقِينَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا (1) وَاتَّبِعْ مَا يُوحَىٰ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا (2) وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ وَكِيلًا

“Wahai Nabi, bertaqwalah kepada Allah, jangan kamu ikuti golongan kafirin dan munafiqin, sesungguhnya Allah Maha Pandai lagi Bijaksana. Dan ikutilah apa yang telah diwahyukan dari Tuhanmu, sesungguhnya adalah Allah itu Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan bertawakallah kepada Allah, cukuplah Allah sebagai pembantu”

(al-Ahzab 1-3)

Dari ayat ini, Allah telah menegaskan tiga sikap penting yang perlu ada saat berdepan dengan Ahzab:

●    Pelihara taqwa dan jangan mudah terpengaruh dengan musuh luaran & musuh dalaman. 

●     Ikuti panduan wahyu tanpa kompromi.

●     Menyerahkan segalanya kepada Allah.

Jangan mudah terpengaruh

Allah telah mengingatkan kepada Nabi dan kita semua agar di saat terkepung, jangan sama sekali terpengaruh dengan pihak lain. Ia datang dalam bentuk propaganda untuk melencongkan keyakinan dan fokus kita. Terkadang ia datang dengan saraf yang mencemaskan. Terkadang pula ia datang dengan tawaran indah yang cukup memperdaya.

Allah juga mendedahkan bahawa saat berlakunya tentangan Ahzab, kita bukan sekadar berdepan dengan musuh luaran iaitu kafirin. Bahkan kita juga perlu berwaspada dengan munafiqin yang merupakan musuh dalaman umat Islam. Mereka sentiasa mencari ruang dan peluang.

Perjuangan ber-Nas

Setelah kita ditegah mengikuti kempen serta dorongan pihak lain, Allah menyuruh agar solid melangkah berdasarkan panduan wahyu.

Setiap sikap, pendirian dan reaksi mesti didasari dengan hujah wahyu. Segalanya mesti dibentuk hasil dari kefahaman terhadap nas terlebih dahulu. Bukannya telahan dan rasa-rasa yang dibentuk kemudian barulah dialas dengan nas. Jika begitu kita, tidak mengikuti nas. Sebaliknya kita menyuruh nas untuk ikuti selera kita.

Tawakal

Allah menggambarkan senario Ahzab, merupakan suasana yang cukup cemas dan menakutkan. Keadaan tersebut sebagai ujian. Jika benar-benar beriman, akan kekal utuh dengan tawakkal dan yakin Islam tetap menang. Adapun bagi munafiqin, mereka akan tumpas dengan faktor ketakutan yang menyebabkan mereka sudah berkira-kira untuk bersama dengan puak lain secara sulit.

Tawakal yang bulat hanya terhasil apabila kita berdepan dengan kemuncak ketakutan dan rasa cemas. Dari tawakal tersebut, mengundang bantuan Allah yang tidak disangka-sangka. Maka tidak hairanlah perang Ahzab yang paling ditakuti oleh para Sahabat, menang percuma tanpa pertempuran besar apabila Allah mendatangkan ribut pasir.

Bukanlah Ahzab

Kita menyedari, kedudukan Islam terkepung ketika perang Ahzab. Islam bersendirian. Terpaksa berdepan dengan semua ketumbukan musuh. Justeru jika kita gagal kekal bertahan dengan posisi bersendirian, sebaliknya lebih terliur dengan daya tarikan dari musuh. Maka senario tersebut tidak bertepatan dengan Ahzab.

Begitu juga jika kita terlajak yakin serta merasa kuat dan ramai, maka sikap tersebut tidak menggambarkan suasana berdepan dengan Azhab. Bahkan ia merupakan sikap ketika perang Hunain:

وَيَوْمَ حُنَيْنٍ ۙ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُم مُّدْبِرِينَ

“Dan ingatlah ketika perang Hunain. Iaitu pada waktu kamu merasa bangga dengan ramainya kamu. Maka dengan itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun. Semasa kamu merasa bumi yang luas itu telah menjadi sempit. Kemudian kamu lari berundur dan bercerai berai”

(al-Taubah 25)

Dari merasa terlajak yakin, melahirkan jiwa yang sombong lantaran terpesona dengan jumlah yang ramai. Ekoran dari itu, mencederakan kualiti tawakal yang memberi kesan kepada faktor nusrah dari Allah.

Istiqamah

Semakin dahsyatnya cabaran, semakin dekat dengan kemenangan. Perang Ahzab merupakan ‘turning point‘ bagi Nabi meranapkan kekuatan musuh yang ada di sekeliling. Dari kejayaan perang Ahzab, memunculkan kejayaan raksasa yang dipanggil sebagai pembukaan Kota Makkah.

Inilah garis masa kejayaan Nabi dan para Sahabat. Tinggal lagi kita perlu mengikuti peraturan kemenangan yang telah ditetapkan oleh nas, agar kejayaan tersebut dapat kita ulangi.

ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
28 Mac 2018 – HARAKAHDAILY 28/3/2018

- Advertisement -