Penduduk Petra Jaya tertekan hadapi banjir kilat

- Advertisement -
PETRA JAYA: Masalah banjir kilat setiap kali hujan lebat yang berpunca daripada saliran perparitan tidak sistematik, antara isu diadukan penduduk semasa PAS Kawasan Petra Jaya mengadakan ziarah, kelmarin.
 
Menurut mereka, masalah yang membelenggu kehidupan penduduk itu telah menjejaskan begitu banyak aktiviti dan rutin harian masyarakat, selain menyebabkan kerosakan peralatan kediaman.
 
Penduduk mendakwa antara punca lain yang menyebabkan kerapnya kejadian banjir kilat tersebut berlaku juga adalah oleh pembangunan tidak seimbang, termasuk mengabaikan pembinaan saliran dan seumpama.
 
Antara kawasan yang sering ditimpa kejadian tersebut adalah Kampung Gita, Astana Lot, Jalan Bentara, Samariang Batu, serta persekitarannya yang lain.
 
Turut dikesali penduduk adalah masalah jalan raya yang sempit hingga menyukarkan pergerakan keluar masuk, sedangkan pihak Ahli Parlimen atau Adun sukar dilihat turun padang menjengah hal penduduk.
 
Keluhan mereka itu disuarakan kepada Ketua Muslimat Petra Jaya, Habsah Bujang yang menyantuni penduduk pada siri kunjungan dan sumbangan tersebut. -HARAKAHDAILY 27/3/2018
- Advertisement -