Undi bererti buat pilihan betul dan terbaik

- Advertisement -

CABARAN paling besar buat para pengundi PRU 14 nanti ialah untuk memilih parti yang bakal memerintah dan mentadbir negara atau negeri untuk lima tahun akan datang.

- Advertisement -

Lima tahun bukan masa yang pendek, ianya satu tempoh masa yang panjang dalam kehidupan. Pelbagai perkara boleh berlaku dalam tempoh lima tahun ini sama ada untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara atau negeri.

Memilih kebiasaannya mencari yang terbaik, tiada yang memilih untuk yang tidak baik dan tidak bagus. Untuk PRU kali ini buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia mempunyai tiga blok untuk dipilih.

Blok Barisan Nasional, blok ini telah memerintah sangat lama dan mempunyai reputasi pimpinan-pimpinan yang korup dan skandal-skandal ketirisan kewangan yang sangat melampau. Kesan daripada kelemahan blok ini pelbagai permasalahan himpitan ekonomi, pengangguran, dasar pendidikan yang gagal membangunkan insaniah dan banyak lagi yang tidak perlu disenaraikan kerana kebanyakan rakyat maklum segala kepincangan ini.

Blok Pakatan Harapan (PH), blok ini wujud atas asas semangat Reformasi 98 yang melibatkan dua aktor kacak yang bergasak sehingga tercetus provokasi kebangkitan rakyat menentang Perdana Menteri ketika itu. Bermula dengan inisiatif PAS dengan agenda Gerak, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

Blok PH ini telah mengalami evolusi keliru yang tersendiri dalam percaturan politik mereka apabila insiden Reformasi 98 sudah tiada nilai lagi buat dua aktor kacak ini, iaitu Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim yang sudah seiring dan sejalan menggasak Najib Razak.

Persoalannya agenda dan muslihat politik apa pula yang bakal mengheret rakyat ke kancah emosional kebencian yang disinetronkan oleh PKR, DAP, PPBM dan PAN. Kesimpulannya rakyat sudah jelak.

Blok Gagasan Sejatera, blok ketiga yang menawarkan solusi terbaik berlandaskan formula yang digali dari disiplin Islam yang memberi rahmat untuk semua. PAS menerajui blok ini serta didukung oleh beberapa parti politik kecil dan NGO.

Manifesto Malaysia Sejahtera yang telah dilancarkan baru-baru ini bakal mengubah landskap ekonomi, pendidikan, sosial dan good governance. Ini adalah garapan terbaik dalam menterjemahkan konsep berkebajikan untuk semua lapisan masyarakat. Oleh itu ayuh kita tekadkan untuk buat pilihan yang betul dan terbaik.

M ROSHARIZAN M ROZLAN 
Pengarah Pilihanraya PAS Puchong – HARAKAHDAILY 26/3/2018

- Advertisement -