Pohon PAS naungan untuk semua

- Advertisement -
KUALA SELANGOR: PAS Kawasan Kuala Selangor telah melangsungkan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-30 yang diadakan dengan penuh jayanya di Markas PAS Kuala Selangor, di sini semalam.
 
Mesyuarat dirasmikan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim itu turut menerima serahan borang permohonan keahlian PAS daripada Setiausaha Umno Cawangan Bukit Hijau, Anisan Adam.
 
Dr Azman dalam ucapannya menyifatkan PAS ibarat pohon rendang yang menjadi tempat banyak makhluk untuk bukan sahaja bertumpang teduh dan menikmati buah, hatta dengan bayangannya sekalipun.
 
“PAS adalah pohon rendang dengan akar tunjang yang tertanam kukuh. Pohon jika miliki tunjang kukuh, tak akan mati sekadar dicantas dahan. Malah berganti tumbuh semula dua atau lebih tunas baharu.
 
“Kita nak ajak semua orang mari bernaung di bawah teduhan bayangan pohon Islam ini. Bukan setakat teduh, malah pohon ini berbuah lebat dan manis rasanya untuk dinikmati.
 
“Walaupun ada yang nakal baling dengan kayu untuk dapatkan buah, pohon ini tetap menggugurkan buah-buah yang manis,” ujarnya.
 
Tegas beliau, keteguhan dan kekuatan PAS itu adalah kerana dasar Islam serta keorganisasiannya hingga ke akar umbi di mana kini mempunyai 196 Kawasan dan lebih 7,000 Cawangan.
 
Jelasnya, Islam itulah akar tunjang PAS, sementara Kawasan dan Cawangan bersama seluruh ahlinya sebagai peneguh. -HARAKAHDAILY 26/3/2018
- Advertisement -