Ambil semangat Khadijah R.A hadapi PRU14

- Advertisement -
SIK: Kegigihan, peranan dan pengorbanan Saiyidatina Khadijah R.A membantu perjuangan Baginda Rasulullah S.A.W menyebar risalah Islam perlu diteladani Muslimat PAS.
 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, harus dijadikan ikon ikutan dalam mengharungi usaha menegakkan agama Allah dan bukannya mengidolakan artis-artis yanh menongkah fitrah kewanitaan.
 
Beliau berucap demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Sik Kali Ke-34 di Kompleks PAS Sik, Sungai Pau, di sini semalam.
 
Jelasnya, Ummul Mukminin itu terbukti tahan diuji dan dikeji yang langsung tidak melunturkan imannya, bahkan bertambah yakin dengan janji Allah terhadap perjuangan Islam.
 
Katanya, Khadijah antara tokoh penting memastikan Islam tersebar dan sampai hingga hari ini di mana Muslimat PAS juga perlu berperanan sedemikian memenangkan PAS PRU ini.
 
“Perlu bersedia berkorban harta, masa, tenaga, fikiran untuk disumbang kepada perjuangan ini sepertimana Khadijah dan wanita-wanita hebat lain dalam sejarah Islam.
 
“Jangan ada sedikit pun rasa takut dan gentar akan tohmahan dan fitnah kerana sudah jadi sunnatullah perjuangan ini ada liku beronak duri.
 
“Yakinlah bahawasanya setiap apa yang dikorban akan mendapat ganjaran dan balasan dari Allah seperti dijanji dalam al-Quran sama ada dunia ataupun akhirat,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.
 
Beliau memuji kesiapsiagaan jentera Muslimat PAS Sik yang semakin ketara dalam kesungguhan berpencak di medan siyasah menuju PRU14. – HARAKAHDAILY 25/3/2018
- Advertisement -