Program 3K rangsang agenda pemerkasaan Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Program Jelajah Karnival KampungKu KesayanganKu (3K) bertujuan merangsang agenda pemerkasaan Islam dengan menjadikan masjid sebagai tapak lokasi program dengan kepelbagaian program yang boleh membina kekuatan dan kesepakatan umat Islam setempat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata program 3K juga turut menjadi platform mempromosikan produk halal usahawan desa untuk dikembangkan sebagai produk bertaraf nasional.

“Sesetengah daerah juga mempunyai potensi untuk menjadi produk pelancongan yang boleh menarik pelancong dalam dan luar negara,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian 3K di Padang Awam Batu 14, Hulu Langat, malam tadi.

Menurutnya, program J3K menjadi salah satu medan membawa jabatan dan agensi kerajaan negeri turun kepada masyarakat di desa-desa seluruh negeri.

Tambahnya lagi, program 3K telah memasuki tahun keempat penganjurannya sejak Mac 2015 dengan 3K telah menjelajah di 30 DUN berlainan sepanjang tempoh tersebut dan alhamdullilah 3K kini telah diterima sebagai program memasyarakatkan kerajaan negeri dengan rakyat.

Beliau yang juga Adin Sijangkang berkata, program 3K tahun ini bertemakan habluminal alam (hubungan dengan alam sekitar) dengan kempen ‘Desaku Bebas Sampah Jalanan’ bagi meningkatkan lagi kesedaran awam.

“Menjaga kestabilan ekologi merupakan salah satu cara menjaga hubungan dengan alam, begitu juga menjaga persekitaran dan kesegaran udara kerana kita bergantung dengan udara untuk hidup tetapi udara kita sudah tercemar,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 24/3/2018

- Advertisement -