20 Tawaran PAS Terengganu

- Advertisement -
KUALA TERENGGANU: Selepas PAS dan Gagasan Sejahtera mengumumkan 20 tawaran Manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bertemakan Malaysia Sejahtera, kini giliran Terengganu pula.
 
PAS Terengganu mencukupkan angka 20 tawaran manifesto pilihan rayanya yang bertemakan “Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera” pada acara kemuncak Himpunan Harapan Rakyat-PAS Ganti Umno (Harap-PGU) 3.8 di Kuala Ibai, malam tadi.
 
Sebelum ini, 15 tawaran awal manifesto itu telah diumumkan kepada rakyat Terengganu dalam beberapa siri penganjuran Harap 3.0 itu yang bermula di Besut Harap-PGU 3.5, Hulu Terengganu Harap-PGU 3.6 dan Harap-PGU 3.7 di Setiu.
 
Harap-PGU 3.8 ini merupakan himpunan besar PAS yang terakhir sebelum PRU14 ini dengan beberapa pengumuman penting termasuk lima lagi tambahan manifestonya menjadikan 20 tawaran untuk rakyat Terengganu.
 
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Hussain Awang berkata, 20 tawaran yang segera yang menyentuh perasaan rakyat. 
 
“Kita telah mengisytiharkan kepada rakyat 15 perkara sebelum ini. Malam ini kita sebut lima lagi tambahan manifesto untuk menjadikannya 20 tawaran kita,” ujarnya.
 
Menurutnya, PAS Terengganu telah mengisytiharkan kepada rakyat sebanyak 15 perkara dan ditambah lima tawaran lagi malam itu.
 
“Pertama, menambah Sekolah Menengah Agama di setiap Parlimen dan Sekolah Rendah Agama di setiap Dun serta memberi geran tahunan kepada Sekolah Agama Rakyat dan pengajian Pondok.
 
“Kedua, mengecualikan cukai pintu rumah kediaman. Ketiga, mengurniakan pencen rakyat RM50.00 sebulan kepada warga emas yang layak. Keempat, menambah keluasaan tanah rezab Melayu dari 118 hektar kepada 1000 hektar.
 
“Kelima, memperuntukan Tabung Biasiswa Pelajar Cemerlang sebanyak RM5 juta setahun untuk anak-anak Terengganu melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah pertama,” ujarnya.
 
Beliau yang juga mantan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu semasa kerajaan PAS memerintah negeri ini yakin tawaran itu disambut baik oleh rakyat seluruhnya. -HARAKAHDAILY 24/3/2018
- Advertisement -