Mangsa kebakaran Kg Sing Kee Darat dakwa diabai

- Advertisement -
BATU SAPI: Keluhan mangsa kebakaran Kampung Sing Kee Darat segera mendapat perhatian Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah yang datang menghulurkan sumbangan kepada mereka, semalam.
 
Dipimpin Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mustaman Mustain, sumbangan makanan disalurkan kepada mangsa yang kini berada di Pusat Penempatan Sementara Sekolah Kebangsaan Bandar, di sini.
 
Difahamkan, pihak berwajib kali terakhir menyediakan keperluan makanan untuk mereka adalah sarapan pada pagi tersebut dan mangsa pula ketidadaan memiliki stok makanan.
 
Sehubungan itu Mustaman bersama Ketua dan Timbalan Pemuda PAS Kawasan Sandakan, Ramlan Pandi dan Adam Ahmad segera datang bersama bekalan makanan tengahari.
 
Nasib mangsa ibarat jatuh ditimpa tangga apabila mereka yang dahulunya merupakan penduduk Sungai Sungut, Beluran dipindahkan untuk mengundi di Parlimen Batu Sapi.
 
Namun, Projek Perumahan Rakyat yang dijanjikan kepada mereka bukan sahaja tidak diperolehi, kediaman yang mereka dirikan itu pula musnah sama sekali dalam kejadian 19 Mac lalu.
 
Kini, dalam keadaan sehelai sepinggang dan masa depan yang kabur itu, pihak berwajib tidak menunjukkan komitmen nyata untuk membantu mereka hatta penyediaan makanan sebagai asasi penting dalam situasi tersebut.
 
Orang ramai yang prihatin dirayu bersama PAS untuk membantu mangsa dengan menghulurkan sumbangan ke akaun BIMB 1004 3010 0202 12 atas nama PAS Kawasan Batu Sapi. -HARAKAHDAILY 23/3/2018
- Advertisement -