Himpunan besar PAS, terakhir sebelum PRU14

- Advertisement -
KUALA TERENGGANU: PAS Negeri Terengganu akan mengadakan himpunan terbesar parti itu yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, hari ini.
 
Himpunan Harapan Rakyat-PAS Ganti Umno (Harap-PGU) 3.8 yang diadakan di Kuala Terengganu ini bagi mencukupkan siri penganjurannya di lapan kawasan seluruh negeri Terengganu.
 
Pengarah Harap-PGU 3.8, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah menyeru seluruh pimpinan parti di semua peringkat, ahli dan penyokong PAS hadir pada himpunan terakhir ini.
 
“Saya menyeru seluruh pemimpin dan ahli PAS serta penyokong parti ini untuk hadir beramai-ramai ke program Harap-PGU 3.8 pada hari ini bermula jam 3.00 petang sehingga 12:00 malam bertempat di Kuala Ibai, Kuala Terengganu.
 
“Jam 3.00 petang perarakan konvoi pemuda dan persembahan Buskers. Pada jam 5.00 petang santai bersama Ustaz Azhar Idrus dan Dato’ Sohok Pok Ya Cong Codei, kuliah Maghrib dan Munajat bersama Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Hussain Awang dan Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.
 
“Acara kemuncaknya adalah pada malam ini jam 9.00 malam. Amanat Tuan Guru Presiden PAS, pengistiharan lima manifesto akhir PAS Terengganu, persembahan lagu tema Terengganu Maju Berkat Sejahtera, penyerahan Dana RM1 Juta dan banyak lagi acara lain,” ujarnya kepada Harakah, hari ini.
 
Kata Ustaz Wan Sukairi, ini adalah program kemuncak dan terakhir sebelum pembubaran Parlimen ke-13 pada bila-bila masa dari sekarang. 
 
Menurut beliau, kehadiran ahli parti sangat penting bagi mewujudkan gelombang kebangkitan PAS di Kuala Terengganu khususnya dan Terengganu amnya.
 
“Semoga Allah S.W.T memberi kepada kita semua kemenangan kepada Islam di bumi Terengganu dan Malaysia, insya-Allah,” ujarnya.
 
Sebelum ini, PAS Terengganu telah mengadakan beberapa siri himpunan Harap 3.0 itu sejak tahun 2015 ditujuh kawasan iaitu harap-PGU 3.1 di Kuala Nerus, Dungun (Harap-PGU 3.2), Marang (Harap-PGU 3.3), Kemaman (Harap-PGU 3.4), Besut (Harap-PGU 3.5), Hulu Terengganu (Harap-PGU 3.6) dan Harap-PGU 3.7 di Setiu. -HARAKAH 23/3/2018
- Advertisement -