Mahathir lulus permit Harakah

Subki 1
- Advertisement -

MENTERI binti Osman Said menempelak dasar tentang kebebasan pesuratkhabaran. Dikatakannya amat mengongkong sedang zaman Najib adalah lebih terbuka.

- Advertisement -

Ada betul dan tidak betulnya.

Dibandingkan Mahathir dengan zaman sebelumnya, Mahathir lebih terbuka.

Zaman Tunku bermula tidak susah menerbitkan akhbar dan majalah jika ada modal. KDN atau permit penerbitan tidak ketat. Syarikat England dan Hong Kong yang cukup modal boleh menerbitkan akhbar.

Orang Melayu yang tidak berduit bergantung kepada Utusan Melayu saja. Berita Harian pun terbit. Ia bukan syarikat orang dalam negeri. Ia diterbitkan oleh syarikat asing berpangkalan di Singapura.

Bila kerajaan Tunku bertambah maju sistem KDN di zaman British diteruskan. British mewajibkan permit demi memastikan bilangan penerbitan semasa. Sebelumnya tidak diperlukan permit. Siapa ada duit boleh terbit akhbar. Kebanyakannya mati. Bagi memastikan kerajaan tahu bilangan penerbitan semasa, disyaratkan minta permit.

Akhirnya permit menjadi syarat dan kena mohon semula setiap tahun. Jika KDN tidak disambung penerbitan tidak boleh diteruskan.

Saya pernah menerbitkan beberapa tabloid. Mati kerana KDN tidak disambung. Antara sebab tidak disambung kerana menyiarkan surat dari kampung di kawasasn Timbalan Menteri Dalam Negeri kononnya janji pilihan raya memina jambatan tidak ditunaikan. Yakin surat itu benar saya siarkan. Kata menteri ia tidak betul. Saya tidak peluang mmbetulkannya kerana permit tidak diluluskan.

NGO/parti pembangkang sebelum Mahathir hanya boleh menerbitkan penerbitan dalaman dengan KDN juga. PAS tidak diberi lesen mengeluarkan penerbitan berkala. Sebelum merdeka parti politik bebas menerbitkan lidah rasmi.

Zaman Tun Hussein PAS tiada lidah rasmi tetap. Tiada permit. Tiba-tiba bila Mahathir jadi Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri diluluskannya KDN Harakah. Untuk dalaman. Tidak boleh dijual kepada umum.

Bila layout Harakah siap, tiada percetakan mahu menerbitkannya kerana saya jadi editornya. Mereka takut tindakan kerajaan kerana masa itu nama saya tidak digemari KDN. Pencetak takut mencetaknya.

Sebuah akhbar Tamil sedia mencetak. Untuk minggu kedua ia tidak sedia mencetak lagi.

Nasib baik ada percetakan yang tunggu ditutup sedia mencetak kerana ia dibayar tunai. Percetakan hidup atas tempahan Harakah.

Tetapi tidak boleh dijual di pasaran terbuka. Penjual akhbar mencari Harakah kerana pelanggan mencarinya. Polis dapat tahu penjual akhbar mengedar Harakah, semuanya menerima amaran. Mereka jual kepada pelanggan yang dikenali saja.

Kerana permintaan banyak polis pun tidak dapat kawal. Akhirnya polis tidak kacau kerana KDN setuju Harakah cetak di muka depan Untuk Ahli PAS sahaja.

Harakah boleh jadi akhbar besar kalau ia ada percetakan sendiri. Harakah tidak sedia mengambil risiko membeli percetakan kerana permitnya setahun saja. Jika idak disambung KDN, modal berjuta mati saja.

Syarikat percetakan dapat untuk besar kerana mencetak Harakah. Syarakat itu daftar lesen lain untuk cetak Harakah tanpa membeli mesin cetak lain. Guna mesin yang ada atas lesen lain.

Megat Junid, Timbalan Menteri KDN nasihatkan Harakah jangan hentam Mahathir teruk sangat. Kalau Mahathir bertindak, Megat Junid tidak boleh bantu.

Saya tanya ada Mahathir komplen? Tidak ada. Apa yang Harakah tidak kata pada Mahathir? Dia biarkan. Cuma dia tidak luluskan Harakah minta permit harian untuk pasaran terbuka. Dia benarkan dari seminggu sekali kepada dua kali seminggu.

Bila dia bersara Tun Abdullah jadi ganti, Harakah boleh terbit dua kali sebulan. Mahathir lebih terbuka daripada penggantinya. Bila Najib naik, dibenarnya Harakah terbit semula dua kali seminggu. – HARAKAHDAILY 22/3/2018

- Advertisement -