Khianat pemimpin BN terhadap MRSM-YT

- Advertisement -

YANG tutup MRSM-YT Besut dan Dungun ialah Kerajaan Pusat melalui kuasa Menteri Pembangunan Usahawan yang menjaga Mara, Nazri Aziz.

- Advertisement -

Seorang pemimpin tertinggi Umno Terengganu bergelar Senator menunjukkan dendam politik terhadap Kerajaan PAS Terengganu dengan bersungguh-sungguh meminta Kerajaan Pusat usah melayan rayuan Kerajaan Negeri supaya tidak menutup dua buah MRSM-YT itu.

Kerajaan Pusat menerima tekanan politik dari pemimpin pembangkang Umno Terengganu agar kekal dengan keputusan tersebut. Umno Terengganu sebagai pembangkang ketika itu khianat serta tidak membela nasib anak-anak Terengganu untuk mendapat pendidikan yang sempurna.

MRSM-YT Besut dan Dungun ini beroperasi di bangunan milik Yayasan Terengganu. Kerana itulah ia dikenali sebagai MRSM-YT. Tentunya demi membela nasib rakyat Terengganu, Kerajaan Terengganu berhak menuntut lebih kuota untuk anak-anak Terengganu memasuki dua MRSM tersebut. Tuntutan Kerajaan PAS Terengganu kepada Mara ialah demi kepentingan anak Terengganu termasuklah anak orang Umno.

Tindakan menutup MRSM-YT itu tidak wajar kerana kedua-dua MRSM tersebut telah dua tahun berturut-turut cemerlang dalam keputusan PMR.

Nazri Aziz ketika memberikan jawapan di Parlimen memberikan alasan kononnya MRSM-YT terpaksa ditutup kerana kemudahan bangunan dan persekitaran belajar yang ketinggalan. Anehnya sebaik saja BN kembali berkuasa di Terengganu, MRSM tersebut kembali dibuka dengan menggunakan bangunan dan kemudahan yang sama. Dulu kata ketinggalan! Kini ia dikenali sebagai MRSM Besut. MRSM-YT Dungun ditutup terus. Nama Yayasan Terengganu dah hilang.

Bila MRSM-YT ditutup, Kerajaan PAS Terengganu memanfaatkan premis tersebut dengan membuka Kolej Sains al-Quran (KOSTAQ) di bangunan milik Yayasan Terengganu ini. KOSTAQ ditutup apabila BN kembali berkuasa di Terengganu.

Generasi baru yang duduk canang kononnya Kerajaan PAS Terengganu tutup MRSM perlu tahu sejarah ini. Sejarah tak pernah menipu.

DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 21/3/2018

- Advertisement -