Manifesto GAGASAN komitmen martabat Islam, Pakatan kosong

- Advertisement -

BERDASAR kandungan Manifesto Gagasan dan Manifesto Pakatan ini maka sudah tentulah umat Islam yang mengundi berdasarkan komitmen pihak yang diundi untuk memartabatkan Islam akan memilih Gagasan berbanding Pakatan.

- Advertisement -

Manifesto Gagasan Sejahtera yang diumumkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, selaku Pengerusinya malam kelmarin diyakini akan mampu menggamit sokongan pengundi Islam kepadanya berbanding Manifesto Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana Manifesto Gagasan dipenuhi dengan komitmen untuk memartabatkan Islam, di mana:

Salah satu daripada tiga asas utamanya menyebut dengan jelas komitmen Gagasan untuk “memberikan peranan utama kepada Islam dengan tafsirannya yang sebenar dan selari dengan perutukan Perlembagaan bagi membina Malaysia Sejahtera”.

Salah satu daripada sembilan teras pentingnya menyebut dengan jelas komitmen Gagasan dalam aspek “pengharmonian sistem perundangan dan tadbir urus negara selaras dengan kehendak Syariah”.

Salah satu daripada 20 tawaran utamanya menyebut dengan jelas komitmen Gagasan untuk “memperkasakan peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan dengan melaksanakan tuntutan Islam sebagai Ad-Deen iaitu sistem yang melengkapi seluruh aspek kehidupan”.

Ini jauh berbeza daripada Manifesto Pakatan yang langsung tidak menyebut sebarang komitmen untuk memartabatkan Islam di dalam mana-mana satu daripada lima terasnya, di dalam mana-mana satu daripada 60 janjinya mahupun di dalam mana-mana satu daripada lima iltizam khususnya.

Sebaliknya, di dalam Janji 11-nya, Manifesto Pakatan melepaskan diri dari urusan mentadbir agama dengan mengembalikannya ke negeri-negeri dan menghentikan peranan Kerajaan Pusat di dalamnya.

Dua janji spesifik Manifesto Pakatan mengenai perkara ini hanyalah untuk “menggalakkan dan mempermudahkan proses pembinaan rumah mampu milik di atas tanah-tanah waqaf dengan cara memberi insentif kepada Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-negeri bekerjasama dengan pemaju swasta” di dalam Janji 4-nya serta untuk “membantu Majlis dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri agar mereka boleh menyalurkan bantuan zakat dan sedekah kepada golongan kurang berkeupayaan dengan lebih efektif dan pantas” di dalam Janji 34-nya.

Berdasarkan kandungan Manifesto Gagasan dan Manifesto Pakatan ini maka sudah tentulah umat Islam yang mengundi berdasarkan komitmen pihak yang diundi untuk memartabatkan Islam akan memilih Gagasan berbanding Pakatan. – HARAKAHDAILY 20/3/2018

- Advertisement -