Ahmad Razif akui bas amfibia tercabut ‘blower hose’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman terpaksa membuat pengakuannya apabila video tular di laman sosial Facebook mengenai kerosakan bas amfibia dua alam itu.

- Advertisement -

Namun, kerajaan negeri menafikan bas amfibia itu rosak, sebaliknya hanya hos peniup udara (blower hose) kenderaan Amphicoach tersebut tercabut ketika beliau memandu ujinya di Sungai Terengganu.

“Itu cuma masalah kecil saja. Saya sendiri yang pandu uji bas berkenaan dan mungkin akibat kesilapan saya yang memandu kenderaan itu dengan laju secara mendadak menyebabkan peniup udara tercabut.

“Memandangkan ketika ini ia masih dalam tempoh ujian dan percubaan, saya sudah minta supaya kenderaan itu diuji lagi selepas ini.

“Ini penting kerana kita mahu pastikan bas ini boleh berfungsi sebaik-baiknya di dalam air dan atas darat sebelum ia mula beroperasi,” ujarnya bagi meredakan kritikan netizen tersebut.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara EPIC Berhad, CMC Engineering Sdn Bhd dan T7 Global Berhad di Wisma Darul Iman pada 14 Mac lalu.

Sehubungan itu, Pengerusi NGO Alifbata Srikandi Masyhur yang juga Sekretariat Ummah Malaysia, Wan Asshima Kamaruddin menegur cara pengurusan wang rakyat oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu.

“MB (Ahmad Razif) boleh meminta maaf tetapi wang lebih RM3 juta itu (harga bas) adakah boleh dipulangkan kepada rakyat Terangganu?

“Pembaziran yang dilakukan oleh beliau menyebabkan sebilangan wang rakyat digunakan bertujuan untuk hiburan yang tidak munasabah.

“Saya melihatkan wang itu amat membazir dan tidak berguna kerana bas air itu dibeli tanpa diuji terlebih dahulu dan kesannya setelah dua kali digunakannya sudah rosak,” ujarnya kepada Harakah.

Beliau berpendapat bahawa harga nilaian sebuah bas berkenaan boleh menyelamatkan sebilangan masalah sosial remaja, jika diperuntukkan bagi mewujudkan rumah perlindungan wanita di Terangganu.

“Mengapa MB Terangganu tidak memikir dan berjimat tentang pengunaan duit rakyat. Adakah dengan memohon maaf itu sudah cukup untuk memulangkan kos pembelian bas itu?” soalnya.

Amphicoach atau bas amfibia dikatakan mampu berfungsi di darat dan dalam air yang pertama seumpamanya di rantau ini dan ke-13 di dunia.

Amphicoach itu mampu memuatkan maksimum 47 penumpang yang boleh dipandu sehingga kelajuan maksimum 110 kilometer (km) sejam di darat dan kelajuan di air pula boleh mencapai maksimum 8 knot.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman berkata bas berkenaan berkapasiti 6,870cc.

Mengikut perancangan, bas berkenaan akan ditempatkan di Tasik Kenyir sebagai tarikan baharu untuk orang ramai ke lokasi pelancongan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu. – HARAKAHDAILY 20/3/2018

- Advertisement -