20 tawaran awal GAGASAN beri kesejahteraan kepada rakyat

- Advertisement -

MUKADIMAH

- Advertisement -

20 tawaran awal Gagasan Sejahtera (GAGASAN) untuk PRU ke-14 sebagaimana temanya “Malaysia Sejahtera” benar-benar bermatlamat memberikan kesejahteraan kepada seluruh rakyat Malaysia pelbagai peringkat khususnya golongan rakyat marhaen.

Ia merangkumi 7 segmen utama iaitu agama, politik dan pentadbiran, ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan dan keselamatan. Ia merangkumi keperluan asas kehidupan iaitu pendapatan, makan minum, pemilikan kediaman dan kenderaan, keperluan asas pendidikan, keselamatan dan kesihatan.

Tawaran Memperkasakan Islam

1. Dari sudut kepentingan Islam, GAGASAN memberikan komitmen untuk memperkukuhkan Islam dalam perlembagaan selaras dengan kefahaman Islam sebagai adDin yang merangkumi pelbagai aspek hidup. Justeru, peruntukan “Islam Agama Persekutuan” sewajarnya ditakrifkan dengan maksud Islam sebagai adDin. Dengan itu Islam akan menjadi tonggak dan rujukan dalam penggubalan dasar, polisi dan undang-undang negara dalam aspek bernegara.

Tawaran Tadbir Urus Rabbani

2. Dalam aspek Tadbir Urus, GAGASAN menawarkan Tadbir Urus Rabbani (Tadbir Urus Ketuhanan) yang meletakkan aspek agama iaitu “ubudiyah” atau perhambaan diri ahli politik dan pentadbiran kepada Tuhan sebagai asas pemangkin dan motivasi bagi melahirkan kebertanggungjawaban, ketelusan dan kecekapan.

Ia adalah aplikasi model pentadbiran kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS berasaskan prinsip UMI iaitu Ubudiyyah (pengabdian diri kepada Tuhan), Mas’uliyyah (kebertanggungjawaban kepada Tuhan) dan Itqan (kecekapan) sehingga diiktiraf oleh SPRM sebagai kerajaan yang bebas rasuah dan diberikan penarafan markah 99 peratus Prestasi Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2016 kepada Pejabat Menteri Besar Kelantan dan Setiausaha Kerajaan Negeri oleh Jabatan Audit Negara.

Tawaran Ekonomi dan Kewangan

3. Dalam memastikan kualiti hidup dapat dikecapi, pendapatan rakyat mesti diselamatkan daripada percukaian yang menindas golongan miskin dan menyebabkan berlakunya inflasi melampau seperti GST. Justeru, GST mesti dihapuskan. Sebagai alternatifnya, akan diperkenalkan cukai yang adil terhadap lebihan pemilikan harta golongan kaya seperti cukai ke atas simpanan korporat dan cukai pegangan saham di Bursa Malaysia bagi menambah pendapatan negara.

4. Ke arah peningkatan ekonomi mikro khususnya bagi menambah nilai pendapatan isi rumah, tawaran bantuan sekali (one-off) sebanyak RM2,000 sebagai modal kepada wanita bekerjaya untuk memulakan kerja dari rumah* bakal memberi kesan besar pada rakyat. Ia sekali gus suatu usaha ke arah memantapkan institusi kekeluargaan apabila si ibu mampu meraih pendapatan dari rumah tanpa perlu keluar dan merisikokan tanggungjawab kepada keluarga khususnya anak-anak.

5. Untuk memastikan golongan fakir dan miskin dapat menikmati asas keperluan makanan harian, GAGASAN menawarkan program It’aam Kebangsaan” (It’aam bermaksud memberi makan)* untuk memberikan bantuan makanan asasi kepada golongan ini secara bulanan. Di saat keperluan rakyat marhaen dapat diberikan jaminan, kesejahteraan akan melebar dalam masyarakat.

6. Dasar pembangunan sedia ada telah gagal memberikan kesejahteraan yang adil kepada rakyat marhaen khususnya. Justeru GAGASAN akan mempertimbangkan semula *pelaksanaan dasar pembangunan agar ia berupaya menangani kemiskinan* dan menyusun semula ketidak seimbangan ekonomi dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Tawaran Hak Berkediaman

7. Seterusnya untuk memastikan rakyat menikmati keperluan asas kehidupan melibatkan hak berkediaman dan berkenderaan maka ditawarkan kediaman mampu milik antara 50k hingga 180k. Kediaman pada harga ini pasti mampu dimiliki oleh mereka yang berpendapatan serendah RM1,500 sekalipun, apatah lagi jika ditawarkan pula nanti pembiayaan berasaskan konsep Qardun Hasan atau pinjaman tanpa faedah sebagaimana tawaran manifesto PAS Terengganu.

8. Malah kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi pembukaan rancangan tanah baru sebagaimana tawaran GAGASAN adalah satu usaha untuk menyediakan penempatan rakyat dengan harga mampu milik di samping ia bakal membuka peluang-peluang pekerjaan baru. Ia selaras dengan cadangan oleh Bank Negara Malaysia agar kerjasama antara Negeri dan Persekutuan diwujudkan untuk pemberian tanah awam kepada rakyat bagi menangani peningkatan kos kediaman yang semakin tidak mampu milik kerana antara punca kenaikan kos kediaman ialah kos tanah.

9. Malah tawaran GAGASAN untuk penempatan baru mampu milik untuk generasi kedua dan ketiga FELDA adalah satu lagi usaha ke arah pemilikan kediaman mampu milik.

Tawaran Hak Berkenderaan

10. Untuk memberi hak kepada rakyat marhaen memiliki kereta kali pertama, ditawarkan peluang memiliki kenderaan di bawah 1.3 cc dengan pengecualian duti eksais dan pembiayaan berasaskan Qardun Hasan iaitu pembiayaan tanpa faedah. Pengecualian duti eksais akan menyelamatkan pendapatan rakyat sehingga hampir 15k jika kenderaan itu berharga sekitar 40k. Bayaran ansuran bulanan akan menjadi kecil dan menambah nilai pendapatan bulanan boleh guna rakyat. Ia adalah hadiah untuk anak-anak muda yang baru sahaja memulakan kehidupan.

11. Untuk mengurangkan lagi kos hidup melibatkan kenderaan, kadar bayaran tol yang menghakis sebahagian pendapatan rakyat juga akan distruktur kembali menerusi semakan semula perjanjian konsesi tol melebihi 15 tahun. Pengurangan atau penghapusan tol bakal merancakkan lagi penggunaan lebuhraya oleh rakyat marhaen dan meningkatkan lagi aktiviti ekonomi menerusi penjimatan kos dan masa di samping menambah lagi nilai pendapatan boleh guna rakyat.

Tawaran Pendidikan

12. Dari sudut pendidikan pula, kos pendidikan dikurangkan menerusi tawaran bas sekolah percuma. Ia adalah hadiah besar khususnya bagi rakyat marhaen.

13. Bebanan hutang kerana pendidikan dikurangkan menerusi tawaran pelupusan hutang peminjam-peminjam PTPTN yang sedia ada untuk meringankan bebanan anak muda sebagai satu inisiatif permulaan ke arah memberikan pendidikan percuma.

14. Bagi mengimbangi jurang pendidikan antara golongan kaya dan miskin, serta masyarakat bandar dan luar bandar, GAGASAN menawarkan untuk mengembalikan sistem kuota di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

15. Begitu juga ke arah memperkasakan golongan miskin bandar dan luar bandar, GAGASAN akan mengembalikan semula fungsi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

16. Pendidikan juga sewajarnya digerakkan menerusi penggunaan bahasa rasmi yang menjadi pengantara seluruh rakyat Malaysia. Justeru, tawaran GAGASAN ialah menjadikan *Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran dalam sistem pendidikan negara.

Tawaran Kesihatan dan Keselamatan

17. Kesihatan adalah nikmat besar bagi rakyat. Ia berkait rapat dengan bilangan doktor pakar dan hospital pakar yang cukup bagi memenuhi keperluan rakyat sebagaimana nisbah yang disyorkan oleh PBB. Justeru, ia menjadi satu tawaran menggambarkan keprihatinan GAGASAN terhadap keperluan ini.

18. Keselamatan rakyat bergantung antaranya pada bilangan anggota keselamatan yang seimbang dengan peningkatan populasi rakyat setempat. Justeru, ia menjadi satu tawaran penting GAGASAN bagi mengurangkan kadar jenayah seterusnya meningkatkan lagi tahap keselamatan sosial.

Penutup

Saya sangat yakin 20 tawaran awal ini adalah antara yang terbaik ke arah melahirkan Malaysia baru yang lebih sejahtera. Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia memberi peluang kepada GAGASAN yang diterajui oleh PAS bagi membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri.
Nantikan tawaran manifesto seterusnya insya Allah.

Membina Malaysia Sejahtera
Sejahtera Bersama Islam

Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus_
Selasa 20hb Mac 2018/ 2 Rejab 1439 – HARAKAHDAILY 20/3/2018

- Advertisement -