Ustaz Wan Azhar stabil setelah rawatan

- Advertisement -
BESUT: Yang DiPertua (YDP) PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan sudahpun dibenarkan pulang ke rumah, setelah mendapat rawatan di hospital, semalam.
 
Timbalan YDP PAS Besut, Shalahuddin Jaafar yang dikenali dengan panggilan Cikgu Solah berkata, Ustaz Wan Azhar sedikit keletihan ditambah dengan hadir ke program tersebut tanpa makan pagi.
  
”Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berhenti memberi ucapan dan rebah. Ada sahabat yang duduk di hadapan melihat mulut beliau sahaja bergerak tetapi tidak ada suara yang keluar.
 
“Kemudian beliau dikejarkan ke hospital dan (telah) dibenarkan pulang ke rumah (tidak lama selepas itu) kerana kesihatan agak stabil,
 
“Alhamdulillah selepas Zohor beliau menelefon dan memaklumkan dibenarkan pulang ke rumah dan doktor menasihati supaya berehat,” ujarnya ketika dihubungi.
 
Ustaz Wan Azhar secara tiba-tiba rebah ketika sedang berucap pada Mesyuarat Agung PAS Besut yang diadakan di Dewan Haji Salleh, Alor Lintah, Jerteh, di sini semalam.
 
Cikgu Solah berkata, namun Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-59 itu berjalan dengan baik dan menjadi medan muhasabah kepada pemimpin dan ahli semua peringkat.
 
Menurutnya, para perwakilan begitu bersemangat memberi saranan dan tidak sabar menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bagi merealisasikan kemenangan.
 
“Mesyuarat berjalan lancar dan hampir semua cawangan hantar perwakilan, walaupun sedikit terganggu, perwakilan terus bersemangat,” jelas beliau.
 
Mesyuarat Agung itu telah dirasmikan oleh Exco Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadhli Dato’ Hassan yang dalam ucapannya Adun Temangan itu menyeru agar ahli dan penyokong PAS bangkit dan maju ke hadapan.
 
”Bangkit, majulah kita walaupun dalam keadaan mana pun. Ulama kata dalam keadaan sakit ataupun dalam keadaan kamu sihat, walaupun dalam keadaan kamu sakit atau pun kamu sihat dalam keadaan kamu kaya ataupun miskin.
 
”Dalam keadaan kamu susah ataupun senang. Dalam keadaan kamu muda ataupun walaupun dalam keadaan kamu sudah uzur tetapi bangkit tetap bangkit.
 
”Maju tetap maju berjuang tidak boleh undur ke belakang. Tidak boleh mencari alasan dan (balasan) Allah sangat keras kepada orang yang mencari alasan daripada (terus) berjuang,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 18/3/2018
- Advertisement -