Pakatan yang ‘tak reti’ bahasa

- Advertisement -
BISMILLAH. “Bahasa Jiwa Bangsa”, slogan ini sangat terkenal dan dimaklumi oleh setiap rakyat Malaysia. Bahasa adalah satu alat untuk berkomunikasi sesama manusia. Di dalam bahasa terdapat banyak hal-hal berkenaan kesopanan, kebudayaan, keindahan dan malah lebih dari itu bahasa juga boleh memberikan ruang untuk permusuhan atau keburukan. Yang tinggal hanyalah bagaimana kita sebagai masyarakat yang bertamadun ini memilihnya bagi menyampaikan hasrat hati kita kepada sasaran.
 
Dalam kita berusaha menjadikan bahasa ini sebagai bentuk perpaduan, perdamaian dan ketulusan hati, di sana ada segelintir manusia yang gagal menggunakan bahasa sebagai satu daripada unsur mengajak manusia menjadi baik. Dengan jelas saya sebutkan di sini ialah pimpinan Pakatan Harapan (PH). Mereka gagal menggunakan sebaik-baiknya bahasa yang juga kurniaan Allah ini kepada jalan kebaikan, sebaliknya mereka memilih bahasa sebagai salah satu senjata bagi permusuhan.
 
Bukti yang jelas beberapa hari lalu, disebalik keterangan jelas, nyata dan tegas Presiden PAS berkenaan penolakan PAS kepada GST dan penyelewengan pimpinan PH yang juga mantan pemimpin Umno-BN dahulu yang menjadi punca keadaan ekonomi Malaysia bercelaru kini, masih ada golongan yang tidak reti atau tidak faham bahasa, menjadikannya terbalik dengan menuduh bahawa Presiden PAS mengatakan hanya pemimpin dahulu yang salah dan bukannya pimpinan Umno sekarang. Cubaan terdesak mengaitkan PAS dengan Umno, tetapi kebodohan tuduhan terlalu nyata, menjadikannya sia-sia.
 
Berangkai-rangkai mereka secara berjemaah memainkan fitnah ini melalui lidah rasmi fitnah mereka. Paling sukar dipercayai, anak kepada mantan Timbalan Perdana Menteri yang dipecat atas tuduhan meliwat juga galak berkokok memfitnah Presiden PAS yang suatu ketika dahulu mempertahankan maruah ayahnya yang dihina Pengerusi PH sekarang. Mereka lupa bahawa rakyat semakin celik dan sedar sekarang. Live dari FB Presiden PAS masih boleh ditonton sebagai bukti. Suka saya mengajak anda semua bagi mengimbau kembali beberapa lagi kes bukti betapa tidak reti bahasa PH ini.
 
Sebelum terbubarnya Pakatan Rakyat (PR), isu MB Selangor menjadi isu panas yang menjadi salah satu penyebab runtuhnya PR. Ketika itu pimpinan PH ketika ini memberikan satu nama calon MB Selangor, sedangkan Sultan Selangor meminta tidak kurang dua nama. Akibatnya mereka marah kerana Presiden PAS yang bijaksana memberikan tiga nama, sesuai dengan arahan tuanku.
 
Ketika bersama PR dahulu, PAS dengan jelas menegaskan akan melaksanakan undang-undang syariah bagi negeri yang PAS kuasai atas dasar bersetuju untuk tidak bersetuju. Namun janji bersetuju untuk tidak bersetuju itu sangat jelas tidak difahami oleh DAP dan PKR dimana mereka mengugut PAS jika meneruskannya. PAS faham dan mengerti perjanjian dan persefahaman itu, dan PAS kekal dengan pendiriannya yang tepat.
 
PAS mengerti dan mendalami kehendak rakyat yang tidak mahu menjadikan PPSMI sebagai sukatan pelajaran anak-anak mereka dan tidak akan menaikkan hal itu sebagai menghormati rakyat. Namun, PH baru-baru ini bersetuju memasukkan cadangan PPSMI ini di dalam manifesto mereka. Ini kehendak PH atau Pengerusinya? Apakah mereka faham bahasa rakyat? Kita mengharapkan A.Samad Said tidak bercita-cita mencipta sajak bagi membenarkan tindakan PH ini.
 
Terbaharu isu doa qunut nazilat yang gagal difahami maksudnya oleh wartawan yang sentiasa menjadi seperti serigala lapar yang ingin memakan bangkai apabila berkait dengan PAS. Sehingga tulisan ini siap, sudah dua kali ia diubah tajuk dan isi tanpa memohon maaf.
 
PAS cukup sedar kehendak rakyat yang mahu lari daripada pemerintahan Umno, maka PAS menentang Umno, tidak setuju hanya Najib dijatuhkan kerana Umno tetap menang. Namun PH hanya mahukan Najib ditukarkan dan mana mungkin wakil dari parti lain yang akan menggantikan Najib kerana Umno yang menang PRU. Bodoh dan naifnya PH dengan strategi itu. Sekali lagi PH tak faham bahasa politik Presiden PAS.
 
Banyak lagi bukti kebodohan PH dalam memahami bahasa dan cuba menarik rakyat yang cerdik turut bersama mereka. Belum disebut akan fitnah-fitnah yang menuduh PAS itu dan ini. Sukar bagi rakyat jika mempunyai golongan pemimpin yang tidak faham bahasa seperti PH ini. Mereka mendakwa Umno suka mengfitnah, tetapi apa kurang mereka?
 
Mereka sekarang ini membantu meringankan beban kerja Umno untuk mengalahkan PAS dengan perangai yang sama seperti Umno. Jadi mereka adalah dua golongan yang serupa tetapi berlainan pakaian sahaja. Sama-sama tidak faham bahasa dan tidak mahu Islam tertegak. Oleh itu demi melihat Islam memimpin, undilah PAS yang insyaAllah memahami bahasa dunia dan akhirat. Wallahua’lam.
 
YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan PAS Terengganu
30 Jamadilakhir 1439 | 18 Mac 2018 – HARAKAHDAILY 18/3/2018
- Advertisement -