Manifesto Malaysia Sejahtera

- Advertisement -

PENGENALAN 
لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَنْ يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا مِنْ رِزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

- Advertisement -

[Surat Saba’ 15]

“(Maksudnya) Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (lalu dikatakan kepada mereka):
“Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadanya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!.”

(Saba’ : 15)

Gagasan Sejahtera (GAGASAN) menyedari dan memahami rakyat semakin terbeban dengan kos sara hidup yang semakin menekan rakyat, lebih-lebih lagi selepas GST diperkenalkan menyebabkan inflasi meningkat.

Pada Januari sehingga Mac 2017 sahaja, inflasi meningkat daripada 3.2 peratus sehingga 5.1 peratus. Kadar ini sudah pasti sangat membimbangkan.

Pada masa yang sama, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun 2017 merosot daripada tangga ke 55 kepada tangga 62 daripada 180 buah negara. Tambahan pula, kejadian jenayah dan gejala sosial yang kian parah juga semakin membimbangkan kita.

Semua kita menyedari Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan hasil bumi yang begitu banyak sama ada di daratan atau lautan. Jika hasil mahsul ini dibangunkan dengan sebaik mungkin di tangan pemimpin yang beramanah dan berintegriti, GAGASAN percaya Malaysia mampu lebih jauh ke hadapan.

Demi menggerakkan agenda perubahan ke arah Malaysia Sejahtera, GAGASAN menawarkan Manifesto PRU14 yang merangkumi 9 Teras, 20 Tawaran Utama dan Tawaran Khas kepada kumpulan sasaran dalam bentuk polisi dan solusi yang mampu menyelesaikan masalah bebanan rakyat dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

GAGASAN SEJAHTERA

GAGASAN merupakan sebuah gabungan politik yang terdiri daripada PAS, IKATAN, BERJASA, lebih 200 NGO dan tokoh berpengaruh (NGI) yang bekerjasama ke arah Malaysia Sejahtera.

Sejak termeterai kerjasama ini, pelbagai dokumen telah dikeluarkan untuk memberi pelbagai pandangan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia bagi menyelesaikan permasalahan yang sedang dihadapi.

Antara dokumen yang pernah dikeluarkan oleh GAGASAN ialah Piagam GAGASAN, Memorandum GAGASAN tentang Urus Selia Dana Politik dan Politik Wang, Memorandum GAGASAN tentang Memerangi Barah Rasuah dan Memorandum GAGASAN tentang masalah FELDA.

Selain daripada itu, organisasi komponen GAGASAN juga telah menghasilkan beberapa dokumen rasmi yang melengkapi lagi dasar dan amalan yang ditawarkan oleh GAGASAN seperti Resolusi Kongres Rakyat Kebangsaan, Resolusi Kongres Rakyat Negeri-negeri, Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).

 
TERAS PERTAMA
PEMBENTUKAN SEBUAH KERAJAAN YANG BERINTEGRITI DAN BERAMANAH SERTA BEBAS DARIPADA KORUPSI 

1.     Mewujudkan sebuah sistem tadbir urus yang bertepatan dengan tuntutan syarak ke arah pentadbiran yang bebas rasuah dan salah guna kuasa.

2.     Memperkukuhkan kembali sistem pengasingan kuasa dengan mengembalikan semula kuasa yang sepatutnya ada bagi cabang Legislatif, Kehakiman dan Eksekutif.

3.     Menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih bebas dan berwibawa dengan melaporkan hasil siasatan secara berkala kepada jawatankuasa di bawah Parlimen.

4.     Menubuhkan Institusi Hisbah Rakyat (People Ombudsman) yang dapat memainkan peranan semak imbang dalam memantau kerajaan.

5.     Menggubal akta baru berkaitan dengan dana dan pembiayaan politik bagi membanteras amalan politik yang merupakan antara punca utama berlakunya rasuah dan salah guna kuasa.
 

 

TERAS KEDUA
PENAMBAHAN PENDAPATAN BOLEH GUNA DAN PENJANAAN PELUANG BARU UNTUK RAKYAT

1.     Mewujudkan sistem rantaian perbekalan dan pemasaran yang lebih cekap, telus dan mudah bagi menggalakkan kegiatan perniagaan Mikro, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tanpa manipulasi oleh golongan kapitalis.

2.     Menawarkan insentif dalam bentuk pengecualian cukai kepada pengusaha-pengusaha IKS untuk melabur di kawasan pinggir bandar dan luar bandar, sekali gus menjana peluang pekerjaan baru terutamanya kepada golongan muda.

3.     Menaiktaraf prasarana kawasan pinggir bandar dan luar bandar yang dapat memudahkan lagi kehidupan rakyat serta menarik pelaburan para usahawan seperti kemudahan pengangkutan awam, kesihatan, pendidikan berkualiti tinggi dan komunikasi internet.

4.     Merancakkan peluang pekerjaan baru dengan menambah dana untuk golongan bekerja sendiri (self-employment) dan golongan usahawan dalam sektor pertanian dan industri asas tani.

5.     Mengekang dan mengawal lambakan kemasukan pekerja asing, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

6.     Menjana peluang pendapatan baru kepada graduan-graduan muda dengan mewujudkan pusat-pusat kecemerlangan (centre of excellence) dalam pelbagai sektor.

7.     Menyediakan insentif khusus dalam bentuk suntikan dana, pengurusan kewangan dan perniagaan, promosi dan pemasaran, penstrukturan semula hutang dan sebagainya untuk anak muda yang berkecimpung dalam perniagaan mikro, IKS dan perniagaan dalam talian (online).

8.     Mewujudkan persekitaran yang kondusif dan saksama untuk rakyat yang berminat menceburi bidang-bidang perniagaan berkaitan dengan Sains, Teknologi, Kejuruteraan and Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) termasuk bantuan dana permulaan serta insentif cukai yang lebih menarik.

 

 

TERAS KETIGA
PEMBERDAYAAN RAKYAT UNTUK MEREDAKAN KESAN PENINGKATAN INFLASI DAN KENAIKAN KOS SARA HIDUP

1.     Memperuntukkan 25 peratus daripada pendapatan melalui cukai-cukai yang menggantikan GST secara terus kepada golongan berpendapatan rendah (B40) melalui pelbagai program bantuan asnaf meliputi bantuan pendidikan, pembiayaan perumahan, suntikan modal awal perniagaan dan sebagainya.

2.     Memperkenalkan semula subsidi petrol dan diesel dalam bentuk yang lebih saksama dan fleksibel dengan mengambil kira bebanan tanggungan kerajaan dan keperluan rakyat.

3.     Menurunkan tarif elekrik untuk rumah kediaman dengan kadar antara 5-10 peratus berdasarkan jenis-jenis rumah kediaman.

4.     Melaksanakan Program Mampu Memiliki Rumah melalui perkongsian kos antara rakyat dan kerajaan seumpama kaedah musyarakah dan kaedah sukuk al-ijarah (perkongsian pemilikan dengan individu atau organisasi).

5.     Menyemak semula sistem dan kaedah penganugerahan tanah kepada pemaju atau individu dengan tujuan menurunkan harga tanah, sekali gus akan menurunkan harga rumah.

6.     Mewujudkan stok imbalan bahan-bahan binaan untuk mengawal harga bahan binaan, seterusnya menstabilkan harga rumah.

7.     Meliberalisasikan AP (permohonan lesen import) dalam semua sektor kepenggunaan asasi rakyat seperti bahan mentah makanan, kenderaan, bahan binaan, komponen pertanian dan lain-lain.

8.     Meneroka kaedah baru pemilikan kenderaan peribadi seperti kaedah sewaan (al-ijarah) yang tidak memerlukan seseorang pembeli membuat pinjaman bank.

9.     Mewujudkan sistem jaringan pengangkutan awam yang cekap dan murah khususnya di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.

10.     Meningkatkan kecekapan dan memperluaskan penggunaan sistem kad diskaun atau baucar pengangkutan awam kepada golongan rakyat yang layak.

 

TERAS KEEMPAT
PENGURANGAN JURANG AGIHAN PENDAPATAN DAN KEKAYAAN EKONOMI ANTARA KAWASAN BANDAR DAN LUAR BANDAR

1.     Mengembalikan sektor pertanian sebagai nadi utama pembangunan negara dengan meningkatkan peruntukan perbelanjaan awam yang meliputi penyediaan prasarana moden, penyelidikan dan pembangunan (R&D), suntikan modal usahawan tani dan lain-lain.

2.     Menyediakan bantuan segera dalam bentuk wang tunai dan keperluan harian kepada penduduk luar bandar yang mudah terkesan dengan kejatuhan harga komoditi utama.

3.     Merangsang pelaburan dan penyertaan sektor swasta secara besar-besaran untuk mengembangkan sektor pertanian dan industri asas tani demi menjamin keperluan bekalan makanan (food security), sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berasaskan sektor ini di luar bandar.

4.     Meminimumkan karenah birokrasi dan membasmi rasuah dalam agensi-agensi berkaitan kesejahteraan hidup petani, penternak, nelayan, peneroka dan penduduk luar bandar seperti FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi-agensi setempat yang lain.

5.     Mewujudkan mekanisme yang lebih berkesan untuk membantu petani, penternak dan nelayan perseorangan memasarkan terus hasil keluaran mereka ke bandar-bandar besar.

6.     Mewujudkan skim penyertaan masyarakat awam dalam bentuk ‘contract farming’ (Bai’ al-Salam), ke arah membantu anak-anak muda yang ingin menceburkan diri dalam sektor pertanian dan industri asas tani di kampung halaman masing-masing.

7.     Menjana perkembangan ekonomi luar bandar melalui konsep ‘pembangunan bandar di luar bandar’ dengan tujuan mengagihkan kek ekonomi yang hari ini lebih tertumpu di bandar-bandar besar.

 

TERAS KELIMA
PENINGKATAN KUALITI PENDIDIKAN KE ARAH PEMBINAAN MODAL INSAN CEMERLANG

1.     Mengembalikan bantuan geran per kapita kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Tahfiz, Pondok serta Sekolah Persendirian.

2.     Menyediakan latihan perguruan secara percuma untuk guru-guru sekolah swasta di institut-institut pendidikan guru (IPG).

3.     Memperbanyakkan sekolah berorientasikan kurikulum integrasi antara tahfiz al-Quran dan Sains di seluruh negara.

4.     Memperkasakan waqaf dalam sistem pendidikan negara bermula daripada peringkat pendidikan pra-sekolah sehinggalah peringkat pendidikan tinggi.

5.     Mengkaji semula dasar-dasar berkaitan pendidikan tinggi seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (1996) dan Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (1997) ke arah memberikan pendidikan percuma.
 

 

TERAS KEENAM
PENGHARMONIAN SISTEM PERUNDANGAN DAN TADBIR URUS NEGARA SELARAS DENGAN KEHENDAK SYARIAH

1.     Menjadikan Malaysia sebuah negara yang berkat, aman, makmur dan bebas jenayah menerusi pemerkasaan sistem perundangan dan pentadbiran yang selaras dengan tuntutan syariah yang diredhai Allah S.W.T.

2.     Meluluskan Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(1965) atau lebih dikenali sebagai Akta 355 ke arah memartabatkan Syariah dan menaik taraf Mahkamah Syariah, yang diyakini dapat mengekang industri maksiat.

3.     Meminda akta-akta yang bertentangan dengan konsep keadilan Islam dan yang menafikan hak-hak rakyat antaranya SOSMA, POTA, POCA, OSA dan AUKU dengan menghapuskan peruntukan-peruntukan yang menzalimi rakyat.

4.     Menjamin hak-hak mangsa jenayah untuk mendapatkan pembelaan dan pampasan dengan memperkenalkan kaedah pampasan berasaskan hukum Diyat.

5.     Memerangi rangkaian pengedaran dadah secara besar-besaran melalui pendekatan amar maaruf nahi munkar ke arah menjadikan Malaysia bebas daripada penyalahgunaan dadah.

6.     Membanteras kezaliman sindiket along dan ceti haram selaras dengan kehendak Islam untuk memerangi pengamal riba.

 

TERAS KETUJUH
PENGUKUHAN SEMULA KONSEP FEDERALISME DENGAN MENGEMBALIKAN HAK-HAK TERTENTU KERAJAAN NEGERI

1.     Memberi kuasa dan peranan yang lebih luas kepada kerajaan-kerajaan negeri terlibat dalam menentukan dan melaksanakan inisiatif-inisiatif berkaitan dengan pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam, prasarana dan sebagainya.

2.     Menambah jumlah geran Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan-kerajaan negeri selaras dengan usaha untuk memberi kuasa dan peranan yang lebih luas kepada mereka.

3.     Mengembalikan hak royalti minyak kepada negeri-negeri yang layak pada kadar 20 peratus.

4.     Memulangkan wang royalti minyak yang tertunggak kepada Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Terengganu yang dirampas bermula era pemerintahan Perdana Menteri Keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

 

TERAS KELAPAN
PEMERKASAAN SUARA RAKYAT SELARAS DENGAN TUNTUTAN SYURA DAN AMALAN DEMOKRASI

1.     Menjadikan referendum sebagai suatu saluran yang sah di sisi perlembagaan dan perundangan untuk kerajaan mendapatkan mandat terus daripada rakyat dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan awam.

2.     Mereformasikan Dewan Negara ke arah menjadikan dewan tersebut lebih demokratik dengan mewujudkan sistem keahlian yang lebih saksama mewakili kepentingan kerajaan-kerajaan negeri dan juga keahlian berasaskan proportionate representative merujuk kepada prestasi parti-parti politik dalam sesuatu keputusan Pilihan Raya Umum.
 

 

TERAS KESEMBILAN
PENAMBAHBAIKAN KEBERKESANAN SISTEM SOKONGAN SOSIAL UNTUK GOLONGAN YANG MEMERLUKAN

1.     Menjamin bantuan tempat tinggal yang selesa, keperluan harian mencukupi, kesihatan dan pendidikan kepada semua golongan daif, miskin, ibu tunggal, anak yatim dan orang-orang yang teraniaya tanpa mengira agama dan bangsa.

2.     Mengurangkan karenah birokrasi ke tahap paling minimum agar bantuan terus dapat disampaikan kepada mereka yang memerlukan dengan kadar segera.

3.     Menubuhkan Tabung Kebajikan Perumahan Negara bersumber sumbangan orang ramai dan sektor korporat untuk kegunaan membantu rakyat yang kurang berkemampuan bagi menampung tunggakan hutang bulanan sewa rumah atau ansuran pembelian rumah.

4.     Memperkasakan lagi peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui pelaksanaan sistem interaktif pelbagai hala antara JKM dengan agensi-agensi lain yang berkenaan seperti Pusat Zakat, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia, JKKK dan Jawatankuasa Kariah dalam mengenalpasti semua golongan yang memerlukan bantuan.

5.     Mewujudkan sistem sokongan sosial yang lebih cekap dengan memperluaskan insentif pengecualian cukai kepada saudara-mara dan jiran-tetangga terdekat yang membantu golongan yang tidak berkemampuan. – HARAKAHDAILY 18/3/2018

- Advertisement -