Guna masa muda cari kekuatan di sisi Allah

- Advertisement -
SIK: Para Pemuda PAS diseru menggiatkan amal ibadah dengan memanfaatkan tenaga mudanya, kerana sebagai amilin yang berjuang perlu sentiasa mendekatkan diri kepada Allah sebagai sumber kekuatan.
 
Antaranya bangun tahajjud dan mengadu kepada Allah terhadap segala penat lelah dan cabaran dihadapi dalam jamaah, saat ketika musuh pula enak tidur di perbaringan.
 
Motivasi itu disuntik Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Sik, Ahmad Sulaiman ketika menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-34 Pemuda PAS Sik di Dewan SRITI Sik, Pondok Begia, di sini kelmarin.
 
Mesyuarat bertemakan “Jihad Menuju Kemenangan” dan dihadiri ramai itu telah dirasmikan oleh Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri Kedah, Abdul Hadi Omar.
 
Peringatnya, Pemuda PAS juga perlu sentiasa berdisiplin dan mengembleng usaha semaksimum mampu untuk menarik lebih ramai anak muda yang pertama kali mengundi atau atas pagar untuk memilih PAS.
 
Tegasnya, tidak ada pilihan lain yang memperjuangkan Islam sebenar dan berusaha memandu umat kepada keselamatan hidup di dunia dan akhirat dengan bimbingan para ulama melainkan PAS.
 
Jelasnya, contoh itu telah ada dalam sejarah Islam sebagaimana kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh yang di usia mudanya telah berjaya membuka Kota Konstatinople di bawah kekuasaan Rom hasil kerja dan munajat kuat.
 
Beliau yang juga Pengarah MTD Jeneri menyingkap sejarah betapa PAS Sik pernah memenangi semua kerusi Parlimen dan Dun dengan harapan ianya dapat diulangi oleh generasi hari ini.
 
“Pemuda harus mengidolakan pemuda sehebat Sultan al-Fateh dalam melaksanakan kerja-kerja parti tanpa mengenal rasa penat dan meyakini bahawa pertolongan Allah sangat dekat.
 
“Kekuatan kita datang dari Allah, maka mengapa perlu sombong dengan-Nya untuk merintih merayu pertolongan dari-Nya, sedangkan Dia-lah pemberi,” serunya. -HARAKAHDAILY 18/3/2018
- Advertisement -