Terima kasih kerana bantu saya- Fouzi

- Advertisement -
KUALA TERENGGANU: Kecaknaan PAS yang prihatin membantu golongan rakyat yang dhaif mendapat pujian terutama oleh ahli keluarga terbabit.
 
Fouzi Ismail, 55, dari Kampung Losong Haji Mohamad merakamkan ucapan terima kasih terutama kepada PAS dan Lajnah Kebajikannya.
 
Kata beliau, kesusahan keluarganya tidak pernah diadukan kepada PAS kerana beranggapan masih ada orang lain lebih susah.
 
“Saya ucap terima kasihlah kepada pihak yang membantu dan memperbaiki keadaan sebahagian rumah yang rosak teruk ini terutama kepada Lajnah Kebajikan PAS.
 
“Walaupun bahagian dapur rumah rosak teruk dan hampir runtuh tetapi saya tak mampu untuk baik, tambah lagi dalam keadaan ekonomi sekarang,” ujarnya kepada Harakah.
 
Beliau ditemui selepas majlis ringkas penyerahan hak milik bahagian rumah projek Baiti Jannati PAS Kawasan Kuala Terengganu, di Kampung Losong Haji Mohamad, di sini kelmarin.
 
Menurutnya, rumah bahagian dapur itu kini telah dibaik-pulih bersaiz 20 x 14 kaki persegi termasuk sebuah bilik air dan bilik tidur.
 
Harakah dimaklumkan, Fouzi kini tidak lagi mampu bekerja seperti dahulu kerana pernah terkena serangan angin ahmar hampir empat tahun lalu.
 
Beliau sebelum ini bekerja sebagai tukang kimpal besi dan tidak dapat bekerja lagi seperti biasa, manakala isterinya, Nor Rohani Nik, 50, pula suri rumah sepenuh masa kepada 10 anak yang berusia sembilan hingga 29 tahun.
 
“Terima kasihlah kerana bantu keluarga kami. Suami (Fouzi) tak boleh kerja berat lagi selepas kena stroke (angin ahmar) hampir empat tahun lalu. 
 
“Anak ramai, ada 10 orang dan tiga orang masih bersekolah. Jadi nak baiki rumah yang rosak sebelum ini kami tak mampu. Alhamdulillah, ada PAS tolong kami, syukur kepada Allah S.W.T,” jelasnya.
 
Harakah dimaklumkan, Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Kuala Terengganu mengambil tanggungjawab dibawah projek Baiti Jannati dan ini merupakan projek pertamanya.
 
Projek Baiti Jannati itu dirasmikan oleh Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan hadir sama meraikan majlis tersebut Setiausaha PAS Kuala Terengganu, Ustaz Mohd Soud Said.
 
Juga Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Mohamed, Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kuala Terengganu, Ustaz Salleh Abdullah serta wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari Imam Care dan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu (YAMCT). -HARAKAHDAILY 17/3/2018
- Advertisement -