BN, PH tiada komitmen terhadap agenda Islam

KOTA BHARU: PAS mengambil keputusan bergerak bersama NGO dan Gagasan Sejahtera pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini kerana Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tiada komitmen terhadap Islam.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, langkah itu dibuat selepas melihat kedua-dua parti berkenaan tidak ambil peduli terhadap kepentingan Islam.

Menurutnya, Islam mesti memerintah tidak seperti sekarang Islam diperintah yang menjadi bukti komitmen serta perbezaan antara PAS dengan BN dan PH.

“Kita lawan BN kerana lebih 60 tahun memerintah, mereka tidak memperkasakan Islam. Selagi pendekatan itu tidak diubah kita lawan mereka.

“DAP parti kompenan dalam PH juga secara terang-terangan menentang Islam, parti lain seperti lembu kenyang tidak berani bersuara untuk mempertahankan Islam,” katanya pada ceramah kemuncak Himpunan Bangkit Pertahan di Padang Perdana malam tadi.

Program anjuran kerajaan negeri itu dihadiri puluhan ribu rakyat Kelantan yang menggambarkan kesungguhan mereka mempertahankan kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, bagi pemilihan bakal calon PAS pada pilihan raya ini, diambil kira mereka yang menjaga hubungan dengan Allah.

“Ini merupakan tunggak kita, kepimpinan yang dipilih wajib mendapat kelulusan Majlis Syura Ulamak, kenal dosa pahala dan mengutamakan solat.

“Mereka yang dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya mesti melakukan baiah, kerana ia adalah rukun politik Islam sebagai mana dilakukan Nabi Muhammad SAW di Madinah,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/3/2018