Manifesto PH bolehkan DAP ambil alih KL?

- Advertisement -
HANYA di dalam Perlembagaan DAP, tetapi tidak di dalam Perlembagaan PKR, Perlembagaan PAN dan Perlembagaan PPBM, termaktubnya kewujudan matlamat untuk “memulihkan pilihan raya tempatan” sebagai agenda perjuangan sesebuah parti politik.
 
Selaras dengan agenda perjuangan DAP ini maka DAP, melalui Kerajaan Negeri Pulau Pinang, telah meluluskan Enakmen Pilihan Raya Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) pada 9 Mei 2012 bagi membolehkan pilihan raya diadakan untuk memilih Ahli-Ahli MPPP dan MPSP.
 
Bila Suruhanjaya Pilihan Raya gagal membantunya untuk melaksanakan pilihan raya tempatan di Pulau Pinang maka Kerajaan Negeri Pulau Pinang (dan P Ramakrishnan) telah mempetisyen Mahkamah Persekutuan supaya memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya berbuat demikian.
 
Turut diminta oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang ialah satu perisytiharan bahawa Seksyen 10 dan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang menghalang pilihan raya tempatan dari diadakan sebagai tidak sah kerana ia kononnya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
 
Bagaimanapun, malang bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Mahkamah Persekutuan secara sebulat suara memutuskan pada 14 Ogos 2014 bahawa Seksyen 10 dan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 ini adalah selaras dengan Perkara 76(4) Perlembagaan Persekutuan.
 
Malang juga bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana Mahkamah Persekutuan secara sebulat suara turut memutuskan bahawa Enakmen Pilihan Raya Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) adalah bercanggah dengan Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan.
 
Begitupun, di sebalik keputusan terang-benderang oleh Mahkamah Persekutuan ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, telah mengisytiharkan kepada ahli-ahli DAP pada 2 November 2014 bahawa jika ia berkuasa, pilihan raya tempatan di Wilayah Persekutuan akan diadakan.
 
Kata Lim Guan Eng: “We promise that there will be a state government for Wilayah Persekutuan, especially Kuala Lumpur…Kita akan balik kepada demokrasi, kita akan benarkan satu kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat memerintah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur”.
 
Disebabkan pilihan raya tempatan telah diisytiharkan dengan jelas oleh Mahkamah Persekutuan sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan maka kewujudan janji mengenai perkara ini (Janji 25) di dalam Manifesto PRU 14 PH adalah agak mengejutkan.
 
Tidakkah ia bukti bahawa DAP memang mendominasi PH bila janji mengenai perkara ini wujud di dalam Manifesto PRU 14 Pakatan Harapan walaupun perkara ini bukan merupakan agenda perjuangan PKR, PAN dan PPBM tetapi merupakan agenda perjuangan DAP?
 
Jika Kuala Lumpur dijadikan sebuah negeri seperti yang dimahukan oleh Lim Guan Eng, maka sudah tentulah, berdasarkan komposisi penduduk di situ, individu yang akan menjadi Ketua Menterinya adalah pemimpin DAP atau mana-mana pemimpin rakan yang boleh diperkudakan olehnya.
 
Begitu jugalah dengan pihak berkuasa tempatan di kebanyakan bandar besar lain di seluruh Malaysia yang, berdasarkan komposisi penduduk di bandar-bandar besar, sudah tentu akan dikuasai oleh DAP jika pilihan raya tempatan diadakan semula mengikut kehendak DAP.
 
Soalnya sekarang ialah apakah anda semua mahu serahkan Kuala Lumpur, dan pihak berkuasa tempatan di kebanyakan bandar besar lain di seluruh Malaysia, kepada DAP? – HARAKAHDAILY 16/3/2018
- Advertisement -