Mangsa kebakaran Kg Sembirai terima sumbangan PAS

KOTA BELUD: PAS Kawasan Kota Belud telah mengadakan ziarah dan memberikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Sembirai, di sini kelmarin.
 
Sumbangan berupa keperluan dapur kepada 30 mangsa dari tujuh keluarga itu disampaikan oleh Yang DiPertua PAS Kota Belud, Ustaz Mustaqim Aling.
 
Beliau yang juga Ketua Ulamak PAS Negeri Sabah ketika ziarah itu turut meluangkan masa mendengar langsung rintihan mangsa atas musibah dihadapi mereka.
 
Menurut salah seorang mangsa, Maulah Ikah, kejadian berlaku sekitar jam 3 pagi 13 Mac lalu hingga memusnahkan lima kediaman berhampiran dipercayai berpunca dari api lilin.
 
Namun, Ustaz Mustaqim segera menenangkan mereka agar terus bersabar dengan ujian Allah itu dan berharap pihak berwajib segera membantu membina penempatan baharu buat mereka.
 
Hadir sama dalam kunjungan kebajikan itu adalah Ketua Pemuda PAS Kota Belud, Adzmin Awang dan anggota Jabatan Amal Malaysia Kota Belud. HARAKAHDAILY 16/3/2018