Krisis di timur Ghouta sangat menyayat hati

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Krisis yang berlaku di Syria, khususnya di timur Ghouta merupakan perkembangan yang sangat menyayat hati, kata Yang Dipertua Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Dato’ Sheikh Abdul Halim Abd Kadir

- Advertisement -

“PUM dengan ini menggesa supaya semua pihak, baik kerajaan Malaysia mahupun umat Islam di Malaysia secara umumnya untuk bersama-sama memainkan peranan sedayanya sama ada melalui saluran di peringkat antarabangsa mahupun menerusi ekspedisi kemanusiaan dan bantuan kewangan,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Kenyataan beliau berikutan krisis di timur Ghouta sebagaimana di bawah.

Wilayah Ghouta merupakan kawasan yang strategik dalam konteks letak geografinya di Syria, di mana ia merupakan kawasan yang berjarak kira-kira 10 km dari Damsyik, iaitu ibu negara Syria. Wilayah tersebut telah dikepung oleh kerajaan Syria pimpinan Bashar Assad sejak tahun 2013 sebagai usaha bagi mengekang kemaraan puak pemberontak dari sebelah timur Damsyik.

Sehingga kini, wilayah tersebut terus-menerus menyaksikan krisis kemanusiaan yang berpanjangan dan masih tidak menampakkan sebarang petanda keredaan. Pada pertengahan Februari 2018 misalnya, kerajaan Syria telah menyerang wilayah tersebut yang dipercayai menjadi sarang kumpulan pemberontak. Dalam tempoh beberapa hari sahaja, operasi yang dijalankan telah memakan korban sehingga ratusan nyawa, termasuklah wanita dan kanak-kanak.

Bagi meredakan ketegangan di Ghouta, pada 24 Februari yang lalu anggota Majlis Keselamatan PBB telah bersetuju supaya gencatan senjata selama 30 hari dikenakan ke atas semua pihak, sama ada di pihak kerajaan Syria mahupun pihak pemberontak di wilayah tersebut. Walau bagaimanapun, inisiatif tersebut tetap tidak mampu untuk meredakan krisis yang melanda di mana sehari selepas gencatan senjata diumumkan, tentera rejim Bashar Assad tetap meneruskan operasi ketenteraan bagi membolehkan kemaraan tentera sehingga ke timur Ghouta.

PUM melihat, tindakan rejim Bashar Assad tersebut adalah merupakan satu bentuk jenayah perang yang tidak sewajarnya dilakukan. Ketika mana keadaan di timur Ghouta yang kian meruncing, Bashar Assad selaku pemimpin tertinggi negara sewajarnya mematuhi keputusan gencatan senjata yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan PBB.

Pada masa yang sama, PUM juga mengecam kumpulan-kumpulan militan pemberontak yang masih berselindung di timur Ghouta dan meneruskan kegiatan-kegiatan militan di wilayah tersebut. Apa yang cukup dikesalkan ialah, sebahagian dari kumpulan-kumpulan tersebut telah menghalang kemasukan bekalan bantuan daripada masyarakat antarabangsa yang disalurkan kepada mangsa-mangsa yang memerlukan.

Apa yang berlaku di wilayah Ghouta pada hari ini hakikatnya merupakan rentetan daripada perang saudara yang berlaku selepas revolusi ‘Arab Spring’ pada tahun 2011. Namun, apa yang berlaku di Syria adalah kompleks kerana beberapa pemain utama politik dunia turut memainkan peranan dalam krisis di negara tersebut. Dalam hal ini, PUM mengutuk sekeras-kerasnya keberadaan dan keterlibatan pemain-pemain utama politik tersebut, baik di pihak Rusia mahupun di pihak Amerika Syarikat serta konco-konconya yang terus-menerus menaja, mendanai dan menyokong proksi-proksi mereka di sana.

Krisis yang berlaku di Syria, khususnya di timur Ghouta merupakan perkembangan yang sangat menyayat hati.

PUM dengan ini menggesa supaya semua pihak, baik kerajaan Malaysia mahupun umat Islam di Malaysia secara umumnya untuk bersama-sama memainkan peranan sedayanya sama ada melalui saluran di peringkat antarabangsa mahupun menerusi ekspedisi kemanusiaan dan bantuan kewangan.

PUM menggesa supaya kerajaan Malaysia bertindak meminta pemimpin negara OIC bersatu mengenai isu ini dan menghormati genjatan senjata agar tiada lagi mangsa di kalangan kanak-kanak dan orang awam menjadi mangsa.

Turki yang mempengerusikan OIC buat masa ini dilihat tidak dapat bertindak sewajarnya kerana kepentingan mereka sendiri yang terlibat secara langsung di dalam krisis di bumi Syria tersebut.

Oleh itu, wajar bagi Malaysia memainkan peranan ini di peringkat negara-negara Islam. – HARAKAHDAILY 16/3/2018

- Advertisement -