Kesilapan Rafizi bukti jahil mengenai cukai DH

- Advertisement -

SAYA meneliti ucapan Rafizi Ramli dalam youtube setelah saya terbaca kritikan beliau yang diviralkan di dalam whatsapp dan facebook terhadap cadangan dua cukai baharu di dalam Dokumen Hijau PAS. Omelan Rafizi di dalam youtube tersebut jelas menunjukkan ‘zero  knowledge’ Rafizi terhadap cukai baru yang dicadangkan oleh PAS sebagai ganti GST. Di sini pihak Dokumen Hijau (DH) ingin menyatakan dua kesilapan besar Rafizi di dalam komentarnya:

- Advertisement -

1. Cukai atas jual beli saham

zaharudinPada minit ke 0:30, Rafizi menyatakan bahawa PAS akan mengenakan cukai ke atas transaksi jual beli saham seraya berkata: “…(PAS) memperkenalkan cukai ke atas transaksi jual beli saham.” Pada minit ke 5:27 pula Rafizi menyebut: “Apabila cukai akan dikenakan ke atas transaksi, setiap satu transaksi, bukan atas untung rugi menjual saham, maka yang paling teruk ialah institusi-institusi kerajaan.”

Jawapan DH: Kesilapan Rafizi pertama ialah, DH tak pernah menyebut untuk kenakan cukai atas transaksi sebagaimana gambaran Rafizi. Saya tak pasti daripada mana beliau dapat formula itu dan di mana dia belajar ada sistem cukai Islam dikenakan atas transaksi. Apa yang disebut oleh DH ialah “Penyelesaian 2 Untuk Permasalahan 1: Cukai Saham Di Bursa Saham Malaysia” sebagaimana di muka surat 20 Dokumen Hijau. Sila rujuk versi asal Dokumen Hijau.

Cukai yang akan dikenakan adalah berdasarkan kaedah-kaedah khusus yang diguna pakai oleh Islam khususnya di dalam pengiraan zakat. Ada yang dikenakan berdasarkan pegangan tetapi bukan semua pegangan akan dikenakan cukai. Ada yang dikenakan ke atas keuntungan bersih secara one-off tetapi bukan semua keuntungan bersih dikenakan cukai. Di sana juga terdapat syarat-syarat terperinci di dalam menentukan kadar dan bila perlu dikenakan cukai. Sebagaimana GST disebut secara umum sebagai cukai 6 peratus ke atas jualan tetap secara terperinci ada GST dikenakan 6 peratus ke atas untung bersih, bukan ke atas transaksi jualan.

Secara terperinci, hanya mereka yang berkepakaran di dalam kiraan cukai Islam sahaja yang tahu sebagaimana kiraan terperinci cukai DH ini. Sebagaimana GST boleh digambarkan secara umum sebagai cukai sebanyak 6 peratus atas barangan dan perkhidmatan, tetapi secara terperinci, bukan semua barang dan bukan semua transaksi dikenakan GST. Hanya mereka yang berkepakaran dalam bidang ini sahaja yang terdiri daripada pegawai Kastam yang berkenaan dan institusi perakaunan tertentu yang lebih tahu. Begitu juga cukai Dokumen Hijau ini, ia boleh digambarkan sebagai cukai sebanyak 2.5 peratus ke atas saham orang-orang kaya serta simpanan mereka yang maha banyak, tetapi secara terperinci, bukan semua simpanan dan saham dikenakan cukai DH. Maka mereka yang berkepakaran dalam bidang cukai Islam ini yang lebih tahu. Pun begitu, anggaran kasar pendapatan boleh dibuat iaitu sekitar 2.5 peratus daripada keseluruhan jumlah yang ada di Bursa dan jumlah simpanan korporat yang direkodkan di Malaysia.

2. Kesan kepada tabung dan wang pelaburan rakyat

Pada minit ke 2:57, Rafizi menyebut: “Sebahagian besar saham-saham di Malaysia ini siapa punya? Siapa yang pegang sebahagian besar saham-saham dekat Malaysia ini? Semua dipegang oleh tabung-tabung wang rakyat Malaysia. Sebahagian besar saham ini dipegang oleh KWSP, amanah saham, oleh Tabung haji, oleh kumpulan wang amanah pencen, oleh Socso, oleh lembaga tabung angkatan tentera, oleh bank-bank dan institusi kewangan yang dimiliki oleh kerajaan, oleh lembaga-lembaga milik kerajaan; mereka yang memiliki sebahagian besar daripada saham-saham ini. Maka yang banyak berjual beli ini ialah diorang juga.” Pada minit ke 4:40, Rafizi menyebut: “Jika dikenakan cukai Islam maka dividen 5 peratus tinggal 1 peratus sahaja”.

Jawapan DH: Komen Rafizi ini jelas menunjukkan beliau mempunyai “zero knowledge” tentang sistem percukaian Islam. Formula yang diguna pakai dalam komen beliau ialah formula konvensional, bukan formula Islam. Kita menggunapakai kaedah “Tidak boleh diceraikan antara modal yang bergabung” (لا تفرق بين المجتمعات) sebagaimana hadis menjadikan pembayar utama cukai ini ialah penerima pelaburan atau dengan kata lain, pemegang-pemegang utama saham syarikat-syarikat besar seperti Maxis. Maka pembayar utamanya adalah Ananda Krishnan, bukan pengguna maxis atau sumber pelaburan seperti PNB dan pelabur-pelaburnya. Melalui cukai yang dicadangkan oleh PAS ini juga, Ananda tidak akan dapat memindahkannya (hand over) kepada pengguna apabila dilaksanakan konsep ‘Haul’ dalam formula pengiraannya. Sekali gus cukai yang tersembunyi yang dibayar oleh pengguna Maxis miskin dan sederhana, akan dibayar selepas ini oleh Ananda Krisnan sendiri, bukan dipindahkan kepada pengguna secara tersembunyi dan tidak disedari sebagaimana sistem SST.

Formula ‘Tidak Boleh diCeraikan antara Modal yang berGabung (TBCMB) akan menjadikan pencarum-pencarum ASN, FGV dan lain-lain mungkin hanya akan menerima kesan sebanyak 0.3 peratus sahaja daripada 5 peratus, bukan dividen 5 peratus tinggal 1 peratus sebagaimana digambarkan oleh Rafizi. 0.3 peratus cukai yang pada kebiasaannya adalah wang lebihan milik palabur adalah jauh lebih baik daripada 10 peratus cukai SST yang tersembunyi di dalam harga barangan yang dibayar daripada wang perbelanjaan dan keperluan rakyat. 0.3 peratus itu juga jauh lebih baik daripada 300 peratus cukai kereta (levi, eksais dan lain-lain) yang akan dinaikkan oleh kerajaan PH sebagaimana yang disebutkan oleh Tun Mahathir. GST yang dilaksanakan oleh BN dan SST serta kenaikan cukai-cukai lain bagi menampung kehilangan akibat penghapusan GST yang dicadangkan oleh Tun Mahathir, kedua-duanya dibayar oleh wang perbelanjaan asasi rakyat dan golongan 1 peratus yang menjadi taiko-taiko bisnes Malaysia seperti Robert Kuok yang memiliki sekitar RM60 bilion, Ananda Krishnan yang memiliki sekitar RM18 biliion dan pengkorporat-pengkorporat seumpamanya seperti Mokhzani Mahathir dan lain-lain, pada hakikatnya tetap tidak akan membayar cukai hasil perniagaan mereka justeru cukai-cukai mereka akan dipindahkan kepada pengguna dan pembeli melalui kemasukan cukai ke dalam harga barang. Tetapi cukai DH yang akan dilaksanakan mengunakan formula TBCMB, haul dan lain-lain, maka yang akan kena bayar pada hakikatnya ialah golongan 1 peratus taiko-taiko ini, bukan 99 peratus rakyat yang mengguna barangan dan perkhidmatan mereka.

Sebagai tambahan, beliau menggambarkan bahawa cukai itu dikenakan ke atas wang rakyat atas alasan institusi-institusi milik kerajaan ini adalah wang rakyat. Blind  spot (bahagian terlepas pandang) yang paling ketara dalam kenyataan Rafizi ini ialah pengguna dan pemanfaat utama wang-wang rakyat ini ialah golongan 1 peratus tersebut. PNB yang memegang sebanyak RM199.1 bilion atau 10 peratus saham di Bursa Kuala Lumpur sebagai contoh perlu juga dilihat dari aspek penerima pelaburan, bukan pelabur sahaja. Dari segi pelabur, lebih 40 peratus sahamnya adalah saham kerajaan yang terdiri daripada wang cukai-cukai yang dipaksa bayar oleh kerajaan ke atas rakyat (termasuk GST) dan lebih 50 peratus lagi adalah duit-duit pelabur sukarela yang terdiri daripada rakyat-rakyat bawahan. Wang rakyat yang diambil secara paksa (40 peratus++) dan sukarela (50 peratus++) ini dilaburkan oleh kerajaan ke dalam syarikat-syarikat yang dimiliki oleh golongan terkaya 1 peratus seperti Maxis, Gamuda, IJM, RHB, Digi dan lain-lain. Maka jika sesiapa dapat memahami cukai DH ini secara lebih halus, mereka akan faham bahawa wang rakyat itu akan dipusing sebahagian alirannya daripada golongan 1 peratus rakyat terkaya kepada golongan termiskin di kalangan B40.

Sebagai terakhir, suka untuk saya mengulas kata-kata bongkak Rafizi pada minit ke 6:15: “Pakar cukai ini” sambil menunjukkan jari ke hidungnya seolah dia adalah pakar dalam bidang cukai. Apa yang ingin saya tegaskan di sini bahawa, pengajian tentang cukai Islam tidak berlaku secara formal dan bersilibus pada hari ini sekalipun sistem cukai Islam yang lengkap terdapat di dalam kitab-kitab fekah. Maka mustahil Rafizi boleh menjadi pakar cukai Islam seolah-olah ‘ulama mujtahid’ justeru tiada pengajian cukai Islam disediakan di dalam silibus-silibus pengajian di fakulti ekonomi di mana-mana universiti kerajaan tempatan mahupun Eropah atau Amerika Syarikat. Dua kesalahan besar Rafizi di atas sudah cukup membuktikan bahawa beliau bukan sahaja bukan pakar, tapi sangat jahil tentang cukai Islam serta formula-formulanya.

ZAHARUDIN MUHAMMAD AL-FARUQ
Pengarah Dokumen Hijau, PAS.

- Advertisement -