Pasar P. Puteh sengaja dikecohkan sebagai isu politik

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Kekecohan mengenai perpindahan para peniaga dari Pasar Pasir Puteh ke Pasar Siti Hajar yang baharu sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu sebagai isu politik menjelang pilihan raya.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihak berkenaan cuba memburukkan Kerajaan Negeri Kelantan dan menyebabkan salah faham pihak luar terhadap perkara tersebut.

“Kerajaan buat dah market baru. Market baru ini lebih comel lagi, lebih luas lagi parking, lebih mudah, lebih bersih. Kerajaan bertolak ansur setahun, lebih kurang setahun dah minta supaya pindah, takse (tidak mahu) pindah.

“Bincang habis cara dah. Dia (peniaga) dakwa di mahkamah. Mahkamah tolak dah permohonan dia. Maka kerajaan buat keputusan, dah demo (mereka) takse itu juga, kita kena rombak (roboh) jugalah.

“Duk gege (kecoh), gege kerajaan nak rombak hak kerajaan, dia pula pergi marah. Bukan rombak rumah dia. Bukan rombak kedai dia,” ujarnya yang juga Adun Panchor ketika berceramah sempena program Pemuda Masuk Kampung di Pengkalan Datu, di sini kelmarin.

Menurutnya, Pasar Pasir Puteh itu adalah hak kerajaan dan disewakan kedainya kepada para peniaga, di mana bangunan baharu Pasar Siti Hajar yang lebih strategik telah disiapkan sebelum peniaga diminta berpindah.

Namun, peniaga yang enggan berpindah menuduh kerajaan mahu merobohkan kedai mereka dan membuat kecoh walaupun tolak ansur, rundingan, nasihat dan notis telah dilaksanakan lebih kurang setahun.

Tambahnya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, mereka yang salah maklumat dalam memahami perkara itu juga telah menuduh Kerajaan PAS Kelantan kini tidak seperti semasa pemerintahan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Tok Guru waktu mula jadi Menteri Besar, orang pergi teroka tanah secara haram dia suruh igat (tangkap). Ambo (saya) ingat lagi mula menjadi Menteri Besar kes di Rantau Panjang.

“Orang kampung pergi teroka tanah kerajaan dengan secara haram, tak ada kebenaran kerajaan. Suruh tubik (keluar), takse tubik. Tok Guru arah pergi igat, tiga orang masa itu kena igat, bubuh dalam lokap.

“Tolong oyak (bagitahu), sebab langgar undang-undang. Langgar undang-undang. Dah nasihat takse tubik, tegur takse, tak dengar. Igat lah nak kata guane (macamana)?” ujar Naib Presiden PAS itu.

Pada majlis yang turut dihadiri Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ariff Abdullah itu juga, enam ahli Umno Cawangan Padang Kiat telah menyerahkan borang menyertai PAS. – HARAKAHDAILY 14/3/2018

- Advertisement -