Invoke yang ‘Provoke’

- Advertisement -

BISMILLAH. Membaca kajian terbaharu Invoke yang diketahui penyokong kuat PH dan juga musuh bersama BN yang membenci PAS, membuatkan saya terdiam dan terpaku. Kelu untuk berkata-kata. Terasa sebak yang amat sangat, bagaikan sembilu menusuk hati ini. Kepiluan ditambah lagi dengan kajian yang menunjukkan kerajaan Kelantan pimpinan PAS tersungkur. Presiden PAS juga kalah kedua-dua kerusi beliau. Bahkan jauh dari itu, kubu PAS di Kelantan, Parlimen Kubang Kerian juga bertukar milik. Tegasnya PAS tidak memenangi sebarang kerusi pun. Sungguh sedih.

- Advertisement -

Mari kita uji semula kekuatan kajian yang sebenarnya sangat memualkan dijalankan ke atas 2000 orang responden seperti yang didakwa ini. Amat malang dengan keupayaan PKR sebelum ini yang tidak mempunyai jentera yang lengkap, melukut dengan PAS pada banyak tempat dan masa, DAP yang semakin dibenci Melayu Islam, PAN yang diketahui sebagai kumpulan penumpang yang tidak membawa untung dan juga PPBM yang tidak dilihat orang-orang penting bersama mereka kecuali beberapa kerat bekas orang kuat Umno yang mengajak rakyat membalas dendam bagi kebencian mereka, memilih untuk mengeluarkan kajian sampah seperti ini dan di zaman ini.

Perang psikologi sebegini amat rapuh pelurunya, mudah dipatahkan dan juga tiada nilai keintelektualan. Pembodohan kepada rakyat oleh BN sekarang bakal disambung oleh PH, jelas dengan tanda yang ditunjukkan ini. Tidak pernah di dalam sejarah sejak selepas merdeka PAS sama ada bergabung, mahu pun bersendiri, tidak memenangi sebarang kerusi, tidak pernah. PAS tetap berdiri di kala gagah, bertongkat paruh ketika sayap patah, namun rebah, alhamdulilah, tidak sekali. Apatah lagi dengan penerimaan kemasukan ahli baharu PAS yang berjumlah puluhan ribu setahun. Ini sebagai satu kajian balas yang sangat mudah.

Kajian sejujurnya harus ditumpukan kepada kekuatan PH sebelum PRU kerana lambungan kerusi, kata-mengata, caci-mencaci dan tuduh-menuduh sedang galak berjalan bagi merebut untuk menjadi calon (bukan menang lagi). Ia berlangsung ketika PH bermimpi mahu menyatukan rakyat Malaysia dalam keadaan mereka sedang bercakaran. Kajian juga harus dibuat bagi memberikan jangkaan kepada nasib PH selepas PRU kerana dapat dilihat Umno pada bila-bila masa boleh kembali rujuk kepada jandanya Bersatu yang masih dalam talak raje’i (boleh rujuk) jika Bersatu memenangi kerusi-kerusi penting. Atau kajian seperti akan adakah lagi kejatuhan seperti Perak selepas PRU setelah wakil PKR dan DAP berkhianat sebagaimana perangai PAN?

Kajian ini sangat lebih penting kerana sejarah politik di negara kita amat jelas bahawa tiada pakatan pembangkang yang berjaya bertahan selepas PRU. Paling lama mungkin Angkatan Perpaduan Ummah iaitu bermula tahun 1989 sehingga 1996 iaitu dua kali PRU sebelum S46 rujuk kepada Umno. Manakala Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat singkat hayatnya. Namun kajian seperti ini sangat dibimbangi oleh PH kerana mereka tahu hubungan di antara Bersatu yang dibintangi oleh figura-figura yang mempunyai sejarah hitam ketika di dalam Umno, DAP yang anti Melayu-Islam, PKR yang mempunyai individu-individu kaki fitnah serta PAN pasukan pengkhianat yang sekarang menjadi khadam DAP itu, ibarat embun di hujung rumput, terbit mentari, hilanglah ia.

Hanya PAS yang membuktikan semangat setiakawan yang terbaik atas dasar Islam dengan dibuktikan pada setiap pengakhiran pakatan pembangkang, ia bukan daripada PAS. Lebih dari itu jawapan Menteri di Parlimen yang mengakui lebih 70 kes rasuah melibatkan wakil BN dan 27 kes membabitkan PH, tetapi tiada seorang pun wakil rakyat PAS yang disiasat kerana rasuah. Penanda apa lagi yang rakyat mahu bahawa PAS adalah harapan utama rakyat bagi menerajui kerajaan yang bersih?

Jadi saya menyeru kepada seluruh ahli-ahli dan penyokong PAS untuk terus istiqamah, menumpukan sepenuhnya perhatian kepada PRU yang amat penting ini. Jika kita berjalan mengikut perancangan parti, dengan usaha dan tawakal kepada Allah, insyaAllah kita akan berjaya mencapai cita-cita kita iaitu kemenangan total ataupun menjadi King Maker di Malaysia. Jangan dilayan usikan-usikan orang yang tidak berpijak di bumi yang nyata ini, kita akan kepenatan dan BN akan kegembiraan kerana PH membantu mereka mengganggu PAS. Wallahua’lam.

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan PAS Terengganu
25 Jamadilakhir 1439/13 Mac 2018 – HARAKAHDAILY 13/3/2018

- Advertisement -