Pemuda PAS Sabah sasar kemenangan PRU14

- Advertisement -

TAWAU: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah dalam Muktamar Kali Ke-31 yang diadakan di Hotel De Choice, kelmarin telah mensasarkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

- Advertisement -

Iltizam dan komitmen itu ditegaskan pada ucaptama yang disampaikan oleh Ketua Pemuda PAS Sabah, Zulzaim Hilmee Abidin yang bertemakan “Meraih Lakaran Kemenangan”.

Menurut Zulzaim, Pemuda PAS Sabah optimis untuk memecahkan tradisi bagi memenangi kerusi sama ada di Dun atau Parlimen, sekali gus menamatkan kemarau panjang PAS di bumi Sabah.

Namun tambahnya, ia tidak mudah dilakukan tanpa kerja keras dan kempen berstrategi yang dilakukan oleh jentera pilihan raya bagi memenangi hati pengundi.

Komitmen ini disahut sebulat suara oleh para perwakilan yang hadir dari seluruh negeri apabila mereka juga menyatakan hasrat sama disamping menggariskan beberapa strategi bagi meraih undi kemenangan.

Muktamar kali ini turut menyaksikan pakaian seragam Jabatan Amal Malaysia dijadikan sebagai penampilan tema seluruh exco, perwakilan, termasuk pemerhati.

Perasmikan disempurnakan Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dan muktamar tersebut turut membahas tiga usul iaitu mengenai organisasi, pendidikan dan dakwah.

Disamping itu, muktamar juga menyampaikan Anugerah Tokoh Pemuda kepada tiga penerima iaitu Azman Talib, Daramansa Lamasah dan Ustaz Zaidi Mustapha yang merupakan mantan exco sesi lalu sebagai menghargai sumbangan mereka.

Turut diberikan anugerah ialah kepada anak muda dari Kudat iaitu Mohd Nur Rahmat Jumrael selaku penerima Anugerah Anak Muda Harapan yang merupakan usahawan muda madu lebah dan pereka grafik.

Selain itu, Kawasan Sandakan, Kawasan Libaran dan Jabatan Amal Malaysia Negeri Sabah masing-masing telah dianugerahkan dengan Anugerah Dewan Pemuda PAS Kawasan Unggul, Anugerah Dewan Pemuda PAS Kawasan Harapan dan Lajnah atau Jabatan Unggul.

Muktamar melibatkan 13 Kawasan itu turut dihadiri oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ahmad Dullah selaku pemerhati.-HARAKAHDAILY 12/3/2018

- Advertisement -