Pemuda PAS Sabah mampu cipta sejarah kemenangan

- Advertisement -

TAWAU: Pemuda PAS Negeri Sabah mampu mencipta kejutan sekali gus melakar sejarah bagi perjuangan PAS di negeri ini dengan memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi Dun atau Parlimen dalam PRU14.

- Advertisement -

Demikian kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hishamuddin Karim ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Sabah Kali Ke-31 di Hotel De Choice, dekat sini kelmarin.

Sehubungan itu serunya, Pemuda perlu bekerja lebih keras bagi meraih kemenangan itu sekali gus melebarkan pengaruh PAS di bumi Sabah yang tidak mustahil dengan jumlah kecil, generasi ini mampu melakukannya.

“Jalannya sudah ditebas oleh abang-abang kita dahulu. Jangan biarkan lalang-lalang dan batang pokok tumbuh melingkari jalan ini. Kita perlu teruskan.

“Jangan takut bercakap soal Islam, jangan bimbang bila ketengahkan Islam sebaliknya kita perlu yakin dengan agama ini yang menjadi agenda asas perjuangan kita.

“Selain itu, Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS), Dokumen Hijau, Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) juga kita perlu hadam agar mudah berhadapan dengan rakyat yang pelbagai karenah.

“Kesemua polisi ini menunjukkan pimpinan PAS tidak bermain dalam menguruskan parti justeru kita di bawah perlu sahut dan bawa agenda-agenda ini ke tengah masyarakat,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan untuk sentiasa taat arahan pimpinan selagi tidak bercanggah syariat Islam, kerana kekuatan anak muda ialah apabila dia patuh dengan pucuk pimpinan yang menjadi disiplin tinggi dalam perjuangan.

Muktamar yang menghimpunkan kira-kira 500 orang perwakilan dan pemerhati dari seluruh negeri itu turut dihadiri oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ahmad Dullah dan beberapa orang pimpinan PAS Kawasan Tawau dan Kalabakan. -HARAKAHDAILY 12/3/2018

- Advertisement -