PAS sedang dipimpin menuju hakikat kemenangan sebenar

- Advertisement -

SIK: Ahli PAS diseru supaya pasakkan kefahaman bahawa penyertaan dalam pilihan raya adalah untuk menang, tetapi PAS juga kuat walau tanpa satu kerusi pun kerana kekuatan adalah apabila melaksanakan syariat Allah.

- Advertisement -

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin malah menegaskan, maksud ‘jamaah’ itu adalah bertepatan dengan kebenaran yakni mengikuti syariat walau seorang diri, maka seorang itulah dikatakan jamaah.

“Sinar cahaya kemenangan dan pertolongan Allah untuk PAS itu makin hampir. Kemenangan bukan dari banyak kerusi, tetapi melakukan perkara yang benar, pertimbangan haq dan batil, syurga dan neraka, itulah kemenangan sebenar,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taujihat pada Munajat Perdana PAS Kawasan Sik di Madrasah Ar-Rahmaniah, di sini kelmarin.

Tuan Guru mengingatkan betapa pemikiran sekular yang bercambah dalam masyarakat selama ini sama sekali tidak meletakkan pergantungan kepada Allah.

Bahkan katanya, menggunakan logik akal semata termasuk memisah urusan agama dari pemerintahan, selain mengambil Islam pada juzuk tertentu sahaja dengan mengikut kefahaman Barat yang pastinya menjauhkan umat dari Allah.

“Maka, keterlibatan kita dengan politik, kemasyarakatan, sosial, pertanian, ekonomi dan sebagainya, jangam ditinggalkan perkiraan dosa dan pahala, benar dan salah, syurga dan neraka.

“Kerana kita akan dipersoal di akhirat kelak akan perbuatan kita dan perlunya pertimbangan sebelum melakukan sesuatu perkara,” ujarnya

Kerana itu menurutnya, PAS hadir meneruskan perjuangan para Nabi dan Rasul serta menyambung legasi ditinggalkan pimpinan dahulu membawa agenda Islam.

Tegas beliau, PAS mahu melaksanakan perintah Allah kerana punya keyakinan hanya Islam sahaja mampu menyelamatkan umat yang saban hari rosak akibat perbuatan sendiri.

Untuk itu, ahli PAS serunya, perlu melakukan munajat yang menjadi petunjuk cetusan hati hamba yang meletakkan harapan dan pergantungan kepada Allah termasuk dalam soal rezeki.

Namun nasihat beliau, jangan disalahertikan makna zuhud sebagai miskin dan susah atau berpakaian lusuh hinga meninggalkan urusan dunia sedangkan hadis diriwayat Imam Ahmad menyata sebaliknya.

“Pertama, seorang yang tidak lupa kubur dan bala dari Allah. Kedua lebih mengutamakan yang kekal berbanding fana, yakni melebihkan akhirat berbanding dunia.

“Kerana saban waktu dunia semakin meninggalkan kita, tetapi akhirat semakin dekat menemui kita. Jadi mengapa dunia yang dikejar?” soalnya mengajak renungan.

Ketiga terang Tuan Guru, seorang yang menolak segala perhiasan berlebihan di dunia di mana boleh mengakibatkan timbulnya riak dan sombong serta memungkinkan amalan tidak diterima Allah.

Juga zuhud itu nyatanya, menjalani hidup seolah-olah akan mati esok, yakni sentiasa berusaha memperbanyakkan amal soleh, serta seseorang yang menganggap dirinya seperti mati yakni hanya memikirkan persediaan akan ditempuhi di alam barzakh menuju alam akhirat.

Kerana jelas beliau, semua ciri itu adalah untuk mengajak manusia kepada kebaikan sebagaimana juga teladan oleh Almarhum Tuan Guru Salleh Musa yang mendekatkan ramai kepada hakikat tersebut.

“Sebab itu bila Allah mencabut ilmu dengan mematikan para alim ulama, lahirlah ulama su’ yakni ulama jahat yang mengeluarkan fatwa tanpa ilmu, mereka sesat dan menyesatkan.

“Seorang bekas pimpinan PAS sebelum ini mengeluarkan kenyataan undi PAS haram, undi PH boleh pahala, padahal di belakang PH kita kenal siapa mereka.

“Melalui parti PAS inilah mengajar kita akan perit gerih perjuangan para Nabi dan Rasul. Jadi mari kita ikhlaskan diri dan perbetul niat kerja buat kita kerana Allah semata.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa kepimpinan ke arah mendekatkan diri kita kepada Allah melalui kerja politik yang merupakan sebahagian manhaj hidup kita menuju reda Allah, tiada parti lain kecuali PAS,” ujarnya.

Hadir sama pada munajat itu adalah Sheikh Yazid Salleh dan majlis diimamkan oleh Sheikh Muslim Salleh. HARAKAHDAILY 12/3/2018

- Advertisement -