PAS memacu masa depan kepelbagaian Malaysia

- Advertisement -

PAS kita memilih tema untuk menghadapi pilihan raya ke-14 dengan mengambil tema bahawa Malaysia Sejahtera. Apa yang menjadi hasrat dan keinginan rakyat Malaysia dalam kita meneruskan masa depan negara kita ialah sebuah masyarakat ataupun sebuah negara yang harmoni, yang aman damai, yang tenteram, yang sejahtera untuk didiami.

- Advertisement -

Sama ada dalam konteks perpaduan masyarakat yang ada, peluang-peluang pekerjaan, pembasmian jenayah dan peningkatan keyakinan untuk hidup selesa. Sebenarnya Malaysia punya potensi yang besar untuk kita bina, bukan sahaja melibatkan tokoh-tokoh politik, tetapi semua masyarakat, semua pihak.

Apa yang saya nak bicarakan pada hari ini ialah soal perpaduan negara kita. PAS mengakui dan kita mengiktiraf bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum, berbilang agama, berbilang bangsa dan budaya. Dan Islam tidak pernah menolak hasrat tersebut dan realiti yang ada dalam negara kita. Bahkan Islam mengiktiraf sebagaimana disebut oleh Allah S.W.T:

إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ

“Sesungguhnya Kami (yakni Allah S.W.T) menjadikan kamu bersuku-suku, berbangsa-bangsa, laki-laki dan perempuan, berbagai-bagai bahasa, berbagai-bagai budaya untuk saling kenal mengenal satu sama lain. Dan semulia-mulia kamu di sisi Allah S.W.T ialah yang paling bertakwa.”

(al-Hujurat: 13)

Ada dua aspek besar yang perlu kita memahami. Pertama ke mana kita nak bawa negara kita pada masa depan? Dengan masyarakat majmuk ini kita harus menjadikan dia sebagai satu aset yang berguna, dia bukan permasalahan. Masyarakat majmuk bukan masalah bagi negara kita.

Tetapi yang penting ialah bagaimana kita menguruskan kemajmukan tersebut hingga dia mampu menjadi suatu aset berguna kepada negara kita. PAS melihat bahawa rakyat perlu hidup dalam keadaan yang harmoni. Konflik perkauman, konflik agama, konflik mazhab, pertembungan nilai-nilai yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak yang tidak senang dengan apa yang berlaku mesti dicegah.

Lantaran itu kita melihat kepada aspek yang pertama, kebebasan beragama. Islam suatu agama yang tidak memaksa orang bukan Islam untuk masuk Islam. Kenapa? Kerana kalau pemaksaan akan melahirkan golongan yang munafik, golongan berpura-pura. Akidah ini ialah soal keyakinan kita. Sebab itu Allah sebut dalam Quran:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ

“Tidak ada paksaan dalam agama”

(al-Baqarah: 256)

Tetapi di waktu yang sama, kita harus mengiktiraf bahawa masing-masing agama mempunyai tanggungjawab. Islam ada tanggungjawab terhadap penganutnya dengan agama dia sendiri. Iaitu orang Islam, dia mesti bebas beramal apa yang diperintah oleh Allah Taala kepada diri dia. Sama ada soal akidahnya, soal imannya, soal ekonominya, soal politiknya dan termasuk juga soal hak-hak dia beramal dengan agama dia.

Demikian juga jaminan kita bahawa semua agama bebas beramal dengan agama mereka sendiri. Pengalaman PAS memerintah Kelantan 27 tahun, menyaksikan bagaimana tidak ada konflik agama berlaku di Kelantan. Dan kita bagi kebebasan masyarakat yang bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka.

Tetapi apa yang menjadi konflik hari ini ialah umat Islam ada hak-hak orang Islam yang tidak, tak boleh laksana. Dan itu yang kita lihat sebagai satu tuntutan orang Islam untuk dia bebas beramal agama dia.

Sebagai contoh, dalam hak makan minum. Islam ada garis panduan dia. Demikian juga hak perundangan. Ada peraturan yang Allah turun. Orang Islam dia wajib melaksanakan apa yang Allah perintahkan untuk diri dia. Dan di sinilah timbul konflik bila mana umat Islam dihalang untuk beramal dengan agama dia.

Jadi oleh kerana itu apa yang mereka tuntut bukan campur tangan dalam ugama lain, ataupun mengambil orang lain, agama lain untuk campur tangan dalam urusan agama Islam. Tetapi sekadar bagaimana untuk kita praktiskan, ataupun kita benarkan orang Islam beramal dengan agama dia. Sebab ini jaminan keharmonian negara.

Soal yang kedua soal bangsa, soal bahasa, sebagai contoh. PAS kita iktiraf soal setiap bangsa ada budaya dia, ada bahasa dia yang kita harus rai. Sebab itu kita menentang sebarang usaha untuk membawa negara kita kepada satu, seolah satu tidak ada pengiktirafan. Soal bahasa ini orang Cina dengan bahasa dia sendiri, orang India dengan bahasa dia. Mereka bebas untuk bercakap, berbudaya dengan bahasa mereka sendiri.

Dan dalam soal ini, alangkah baiknya kalau kita boleh gembeling semua keunikan budaya yang ada di Malaysia, kita harmonikan sebagai satu aset besar bagaimana untuk kita elak sebarang konflik yang berlaku di kalangan masyarakat.

Pengalaman yang berlaku sama ada di Timur Tengah ataupun di Eropah, yang menyaksikan bahawa pertembungan ini akan diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu. Lantaran itu kita perlu duduk bersama, kita perlu bincang dan mencari muafakat. Saya tertarik dengan apa yang disebut oleh Allah dalam Quran:

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا

“Katakanlah kepada Ahli Kitab. (Ahli Kitab ini golongan Yahudi, golongan Nasara). (“Ta’alau”) Mari kita duduk bersama, kita bincang bersama kepada kalimah yang sama antara kami dengan kamu.”

(ali-‘Imran: 64)

Maknanya dalam soal bicarakan soal negara, kita ada kalimah yang sama. Soal penyelewengan, soal rasuah, soal menentang kezaliman, penindasan, salah guna kuasa. Ini hak bersama. Soal kebersihan, soal jaminan untuk hidup, soal jaminan untuk dapatkan bantuan, soal kesihatan, soal pendidikan. Ini banyak nilai-nilai yang sama. Dengan prinsip masing-masing kita pelihara. Islam memegang prinsip:

أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا

“Bahawa kami tidak boleh syirik kepada Allah S.W.T. Mengabdikan diri kepada Allah.”

(ali-‘Imran: 64)

Saya fikir ini di antara garis panduan yang sangat menarik. Sebab itu kalau kita boleh lihat bagaimana PAS bersama dengan Gagasan Sejahtera nak mengajak rakyat mari kita duduk dalam realiti masyarakat bahawa jangan hak-hak beragama yang diadakan ini jadi masalah. Sebab Islam tidak pernah diturun untuk membawa masalah. Islam diturun oleh Allah untuk memandu hidup manusia dan menyelesai masalah manusia. Allah Taala sebut dalam Quran:

طه (١) مَا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَىٰ (٢)

“Kami tidak turunkan Quran ini untuk menyusahkan kamu”

(Taha: 1-2)

Sama ada peraturannya, sistemnya, keadilannya dan cara hidupnya. Tidak pernah satu sistem yang tuhan turun untuk menyusahkan manusia. Tetapi dia satu peraturan untuk mengajak manusia dan mengharmonikan masyarakat kerana seluruh manusia ini makhluk Allah S.W.T.

Dan kita sebagai hamba Allah, kita ada tanggungjawab. Tanggungjawab sebagai hamba Allah, tanggungjawab kita ke atas negara kita sebagai rakyat Malaysia. Tanggungjawab kita kepada perubahan yang lebih baik.

Jadi, untuk akhirnya saya ingin mengambil kesempatan untuk mari menyeru, mari kita semua pihak, mari kita gembeling tenaga kita, kita mencorak warnakan masa depan politik Malaysia, masa depan negara kita sebagai sebuah negara yang kita inginkan semua:

بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

“Sebuah negara yang baik. (Negara yang harmoni, negara yang aman damai, negara yang seronok untuk hidup, negara yang seronok untuk kita masa depan generasi akan datang. Di waktu yang sama juga) Allah Taala mengampun dosa-dosa kita.”

(Saba’: 15)

Mudah-mudahan kita diberkati Allah S.W.T hingga bertemu dalam siri-siri yang akan datang.

(Teks transkrip dari Ucapan Timbalan Presiden PAS di Live Facebook TVPAS malam tadi yang disediakan oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR)HARAKAHDAILY 13/3/2018

- Advertisement -